ALTIMET sedia sumbangkan separuh kutipan royalti harta inteleknya tahun ini untuk bantu bayar denda Selangor. FOTO ARKIB NSTP
ALTIMET sedia sumbangkan separuh kutipan royalti harta inteleknya tahun ini untuk bantu bayar denda Selangor. FOTO ARKIB NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Selangor FC mungkin boleh menarik nafas lega apabila terdapat beberapa pihak sudi menghulurkan sumbangan dan bantuan bagi meringankan bebanan ditanggung pasukan terbabit selepas dikenakan denda dan diminta bayaran ganti rugi oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Antara yang tampil untuk menghulurkan bantuan adalah penyanyi rap terkenal, Altimet yang sedia berkongsi wang kutipan royalti untuk membayar denda terbabit.

Altimet atau nama sebenarnya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya menyatakan mahu menyumbangkan separuh daripada kutipan royalti harta intelek miliknya pada tahun ini jika pihak Selangor sudi menerimanya.

"Saya akan sumbangkan separuh kutipan royalti harta intelek saya tahun ini untuk bantu bayar denda ni, jika SFC sudi," ciapannya di X.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan kantung Selangor FC semakin menipis pada musim ini apabila perlu 'membayar' harga yang mahal kerana tidak hadir pada aksi Piala Sumbangsih menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, 10 Mei lalu.

Ini kerana MFL mengenakan empat bentuk hukuman terhadap Selangor FC susulan keputusan skuad Gergasi Merah itu.

Hukuman yang diputuskan menerusi mesyuarat Lembaga Pengarah MFL itu termasuk denda RM100,000 yang mana wang berkenaan akan disumbangkan kepada badan kebajikan yang akan diputuskan kelak.

Badan pengelola Liga Malaysia (Liga M) itu memaklumkan skuad Gergasi Merah turut dikenakan tiga lagi hukuman termasuk bayaran pampasan kerugian yang ditanggung pasukan tuan rumah, JDT dan MFL selain pemotongan tiga mata dalam pertandingan Liga Super 2024-2025.

Pada masa sama, perlawanan Liga Super (LS14) membabitkan Selangor FC menentang JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan dimainkan tanpa penonton.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2024 @ 8:27 PM