PEMAIN Dortmund, Ian Maatsen dilihat kecewa selepas tamat perlawanan. FOTO REUTERS
PEMAIN Dortmund, Ian Maatsen dilihat kecewa selepas tamat perlawanan. FOTO REUTERS
Reuters

London: Borussia Dortmund membayar harga cukup tinggi kerana gagal memanfaatkan peluang ketika menentang Real Madrid, kata jurulatih kelab Bundesliga itu, Edin Terzic selepas menyaksikan gergasi Sepanyol itu menewaskan anak buahnya 2-0 pada aksi final Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Selepas Dortmund mensia-siakan beberapa peluang terbaik pada separuh masa pertama, Dani Carvajal dan Vinicius Jr meledak gol lewat permainan untuk memastikan mahkota Eropah ke-15 milik Real.

"Kami tidak menunjukkan kecekapan untuk menjaringkan gol. Ini adalah sesuatu yang perlu kami pelajari," kata Terzic yang kelihatan sedih kepada pemberita.

Dortmund yang menduduki tempat kelima dalam saingan Bundesliga musim ini, melangkah ke final Liga Juara-Juara pertama mereka sejak 2013 ketika Wembley turut menjadi tuan rumah yang menyaksikan mereka tewas kepada Bayern Munich.

Mereka sudah memberikan yang terbaik pada final awal pagi tadi, begitu juga sokongan penyokong yang luar biasa.

"Saya bangga, itu adalah perkara pertama dalam fikiran saya, saat yang membanggakan," kata Terzic.

"Kami membawa hampir 100,000 penyokong ke London dan semua orang percaya kami boleh berjaya.

"Ia adalah pengalaman yang hebat tahun ini dalam Liga Juara-Juara tetapi sejujurnya ia agak kosong bagi kami. Kami mempunyai peluang terbaik untuk menang tetapi malangnya tidak berjaya," katanya lagi.

Ketua Pegawai Eksekutif Dortmund, Hans-Joachim Watzke turut tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya.

"Kami beraksi dengan baik, sepatutnya mendahului pada separuh masa pertama tetapi kemudian kami agak letih dan lawan mula menjaringkan gol," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Jun 2024 @ 7:57 AM