SCHMID (kanan) berjaya meledakkan gol kemenangan Freiburg pada separuh masa kedua. FOTO AFP
SCHMID (kanan) berjaya meledakkan gol kemenangan Freiburg pada separuh masa kedua. FOTO AFP
AFP

Berlin: Penjaga gol, Marwin Hitz melakukan kesilapan memalukan sekali gus meletakkan Borussia Dortmund dalam keadaan bahaya untuk mencari slot ke Liga Juara-Juara musim depan apabila kalah 1-2 kepada Freiburg di saingan Bundesliga.

Hitz gagal menampan kemas rembatan Jonathan Schmid pada separuh masa kedua untuk membolehkan Freiburg mencatat kemenangan pertama ketika bertemu Dortmund sejak 2010.

Kekalahan itu juga menyaksikan Dortmund kurang tiga mata untuk berada dalam kelompok empat terbaik liga.

"Kami harus bangkit segera. Saya tidak mahu bayangkan tidak beraksi di pentas Eropah musim depan," kata pemain tengah, Emre Can.

"Saya bukan saja akan merasa kecewa, malah rimas. Kami melakukan kesilapan lagi hari ini di mana kami sepatutnya boleh elak melakukannya," kata jurulatih Dortmund, Edin Terzic.

Percubaan jarak jauh pemain remaja antarabangsa Korea Selatan, Jeong Woo Yeong meletakkan Freiburg di depan selepas aksi separuh masa kedua bermula.

Selepas itu Hitz membenarkan rembatan Schmid masuk ke dalam gawang selepas gagal menampan kemas.

Gol saat akhir pemain berusia 16 tahun, Youssoufa Moukoko tidak cukup untuk menyelamatkan Dortmund.

Sementara itu, bekas pertahanan Arsenal, Skhodran Mustafi melalui penampilan pertama yang sangat menyukarkan bersama Schalke selepas tumpas 0-3 di laman sendiri kepada RB Leipzig.

Gol separuh masa kedua melalui Wout Weghorst dan Ridle Baku memberikan Wolfsburg kemenangan kelima berturut-turut ketika berkunjung ke Augsburg, manakala Bayer Leverkusen berjaya mencatat kemenangan 5-2 ke atas Stuttgart.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Februari 2021 @ 8:47 AM