FARIZAL dan Haziq giat menjalani latihan menjelang pertembungan menentang Selangor FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam esok. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers
FARIZAL dan Haziq giat menjalani latihan menjelang pertembungan menentang Selangor FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam esok. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Antara Farizal Marlias dan Haziq Nadzli siapa bakal mengemudi gawang Johor Darul Ta'zim (JDT) apabila pasukan itu berkunjung ke Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) berdepan Selangor FC pada aksi Liga Super, malam esok.

Situasi pastinya mampu di atasi pengendali JDT, Hector Bidoglio yang akan memilih sama ada Farizal atau Haziq selaku penjaga gol utama pasukan itu apabila berdepan skuad kendalian Nidzam Jamil yang turut mengintai peluang untuk memburu kemenangan selepas gagal menyerlah pada dua aksi lalu selepas tewas 0-2 kepada Terengganu FC dan kalah 0-1 kepada Petaling Jaya City FC.

Apapun pengendali kelahiran Argentina itu percaya antara Farizal dan Haziq, kedua-dua pemain itu memainkan peranan penting bagi memastikan kedudukan JDT berada sekarang malah optimis jika Farizal atau Haziq diturunkan, mereka mampu beri persembahan terbaik bagi memastikan JDT meneruskan rentak kemenangan.

"Farizal sudah mengatasi 'mimpi ngeri' selepas tewas 0-5 kepada Urawa Red Diamonds, baru-baru ini dan dia tampak begitu bersemangat menjalani latihan bagi menghadapi Selangor FC dan juga menyiapkan diri untuk final Piala FA.

"Manakala Haziq pula perlu diberi peluang beraksi bagi memastikan dia sentiasa berada di tahap permainan memuaskan apabila mengambil alih tuga selaku penjaga gol kerana saya lihat kedua-dua pemain itu penting buat JDT dan masing-masing ada kelebihan tersendiri.

"Apapun, untuk aksi menentang Selangor FC nanti, biar saya buat keputusan akhir dan optimis siapa sahaja yang terpilih bakal beri persembahan terbaik bagi memastikan momentum kemenangan JDT tidak terjejas dan cuba mempertahankan rekod tanpa kalah," katanya.

Mengulas mengenai pertemuan menentang skuad The Red Giants, Bidoglio tidak menafikan pasukan itu bakal beri ancaman buat JDT tatkala mereka berkelebihan beraksi di laman sendiri malah beliau menegaskan kemenangan 5-1 pada aksi lalu tidak boleh dijadikan ukuran.

Beliau berkata, ketika itu Selangor FC dibimbing oleh Michael Feichtenbeiner dan kini di bawah kendalian pengendali baharu dan mungkin taktik permainan akan berbeza namun barisan pemain akan bersedia menghadapi apa jua cabaran daripada pasukan lawan.

"Kita akan berdepan dua perlawanan getir dalam tempoh singkat, bermula dengan aksi menentang Selangor FC, malam esok dan kemudian perlu segera membuat persiapan menentang Terengganu FC pada aksi final Piala FA, Sabtu depan.

"Justeru, saya akan lakukan penggiliran pemain bagi menghadapi Selangor FC tapi mereka yang diturunkan nanti tetap barisan terkuat kerana kami mahu kekalkan momentun kemenangan dan juga harus waspada ancaman pasukan lawan," kata Bidoglio.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 September 2022 @ 10:55 AM