Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Richard Scully percaya anak buah Kim Pan-gon akan bangkit dalam dua aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, bulan depan.

Jelas mantan Naib Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) itu, dua kekalahan di tangan Oman sebelum ini pastinya memberi pengajaran berguna buat anak buah Kim Pan-gon yang wajib memungut mata penuh apabila turun menentang Kyrgyzstan dan Taiwan nanti.

Katanya, Pan-gon bukanlah jurulatih yang cepat mengalah sebaliknya memiliki semangat juang seorang pahlawan dan elemen sama akan disuntik dalam jiwa setiap pemain negara.

"Kita mampu memberi saingan, kita takkan bagi laluan mudah. Taiwan kalau ikut matematik boleh menang. Kyrgyzstan kalau kita seri bagus, kalau menang bonus.

"Pan-gon akan buktikan sesuatu sebab sejak kebelakangan ini banyak tekanan. Jadi saya percaya beliau (Pan-gon) sebagai seorang jiwa yang besar.

"Beliau orang yang bukan cepat mengaku kalah punya geng, beliau akan bangkit semula. Saya percaya beliau akan bangkit balik," katanya dalam sesi bual bicara podcast 'Apa-Apa Saja' di saluran Youtube Harian Metro.

Berdasarkan kedudukan semasa dalam Kumpulan D, skuad Harimau Malaya masih berpeluang untuk mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 dan layak secara automatik ke Piala Asia 2027.

Begitupun, pemain negara wajib melakar kemenangan ke atas Kyrgyzstan di Bishkek pada 6 Jun ini sebelum turun menentang Taiwan di Stadium Nasional Bukit Jalil lima hari kemudian.

Malaysia ketika ini menghuni tangga ketiga kumpulan dengan enam mata manakala Kyrgyzstan di tempat pertama menerusi sembilan mata yang berkongsi mata sama dengan Oman di kedudukan kedua dan Taiwan di tangga tercorot tanpa sebarang mata.

BARISAN pemain Harimau Malaya akan berdepan Taiwan dan Kyrgyzstan selepas ini. -FOTO FAM
BARISAN pemain Harimau Malaya akan berdepan Taiwan dan Kyrgyzstan selepas ini. -FOTO FAM

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mei 2024 @ 2:31 PM