Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah atas pemergian Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof Emeritus Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan yang juga mantan Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang meninggal dunia awal pagi tadi.

Anwar menzahirkan perasaannya menerusi hantaran diFacebook (Fb) miliknya, hari ini.

"Terima perkhabaran duka mantan rektor UIAM Prof Ulung Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan yang kembali ke rahmatullah awal pagi tadi.

"Allahyarham tokoh pemikir Islam yang banyak memberikan sumbangan besar kepada dunia akademik, penyelidikan, pendidikan serta pembangunan modal insan dan kehilangan ini meninggalkan bekas yang mendalam kepada sanubari umat.

"Saya mengutuskan salam takziah kepada keluarga serta mendoakan roh Allahyarham ditempatkan di kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh," katanya.

Menerusi ruangan komen, rata-rata netizen turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.

"Semoga segala sumbangan beliau menjadi aset di alam akhirat, " tulis pengguna Fb, Zahari Othman.

"Dari dulu lagi mengagumi beliau. Manusia hebat dan ilmuwan ulung alam Melayu. al-Fatihah," tulis seorang lagi pengguna Fb, Alon Kamal.

Mohd Kamal meninggal dunia pada usia 80 tahun ketika menerima rawatan di Hospital Selayang Kuala Lumpur.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada jam 2.27 pagi tadi akibat komplikasi selepas pembedahan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Februari 2023 @ 1:17 PM