HAMIDIN yang ditemui media di sebuah hospital swasta di Shah Alam selepas menziarahi Faisal Halim.
HAMIDIN yang ditemui media di sebuah hospital swasta di Shah Alam selepas menziarahi Faisal Halim.
Syazwan Msar


Shah Alam: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak mencampuri urusan atau 'terlalu ke depan' terhadap insiden keganasan membabitkan pemain bola sepak negara baru-baru ini.

Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, pihaknya menyerahkan tiga kes keganasan membabitkan pemain bola sepak negara kepada kebijaksanaan polis untuk menyelesaikannya.

"Apa saja perkara tidak baik yang menjejaskan bola sepak sudah tentu FAM tidak suka. Jadi macam saya katakan, ini perlu mendapat sokongan semua pihak dan pihak berkuasa sedang mengambil semua tindakan menyeluruh tentang perkara ini.

"Kita doakan dapat mencari jalan keluar dalam isu ini. Mungkin itu dia (Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Shuhaily Mohd Zain ) kata kemungkian, jadi saya tidak ada komenlah, saya ingat perkara itu kita serahlah kepada pihak berkuasa," katanya.

Terdahulu, Suhaily menjelaskan pihaknya akan meneliti sama ada serangan menimpa tiga pemain bola sepak kebangsaan mempunyai kaitan dengan tohmahan terhadap FAM bulan lalu.

Beliau juga menjelaskan pihaknya kini sedang menunggu hasil analisa cap jari yang dipercayai milik suspek kes simbahan asid terhadap pemain Harimau Malaya, Faisal Halim.

"Kita sudah ekstrak beberapa cap jari yang ditinggalkan. Buat masa ini kita masih menunggu analisis cap jari ini.

"Sekiranya ia memberikan gambaran positif kita dapat 'mendekatkan diri' dengan suspek-suspek terbaharu," kata Shuhaily.

Mengikut rekod, tonggak Harimau Malaya Akhyar Rashid diserang dua individu tidak dikenali, berhampiran sebuah kondominium di Kuala Terengganu, dipercayai bermotifkan samun.

Dalam kejadian kedua, Faisal diserang dengan asid di sebuah pusat beli belah di Kota Damansara, Petaling Jaya.

Terbaharu, cermin belakang kenderaan dipandu Safiq Rahim yang juga pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) dan bekas pemain kebangsaan, dipecahkan berhampiran pusat latihan JDT di Sri Gelam, Johor Bahru

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2024 @ 3:47 PM