PEMAIN Selangor FC gigih membuat persiapan menjelang Liga M musim ini. FOTO FB SELANGOR FC
PEMAIN Selangor FC gigih membuat persiapan menjelang Liga M musim ini. FOTO FB SELANGOR FC
Firdaus Hashim


Shah Alam: Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar akui Red Giants akan akur apa jua keputusan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) berhubung permohonan penangguhan aksi Piala Sumbangsih, Jumaat ini.

Selangor FC yang muncul naib juara Liga Super musim lalu dijadual menentang juara liga, Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim yang menjadi aksi pembuka tirai Liga Malaysia (Liga M), musim ini.

Jelas Shahril, pihaknya akan menerima apa juga keputusan daripada MFL termasuk permohonan ditolak, sekali gus sedia untuk beraksi.

"Seperti yang kita buat kenyataan semalam, Selangor FC sudah buat permohonan rasmi kepada pihak FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) dan MFL untuk kalau boleh perlawanan sumbangsih ini ditukar hari.

"Saya faham pihak FAM dan MFL pun agak sukar nak buat keputusan, tetapi harapan kami di Selangor FC sekiranya boleh dapat ditukar.

"Tapi kami menerima apa apa jua jawapan dan keputusan daripada pihak MFL dan FAM," katanya.

Petang ini, MFL membuat keputusan menolak permohonan Selangor FC selepas mengadakan mesyuarat dan perbincangan.

Menurut badan pengelola itu, keputusan meneruskan perlawanan sumbangsih dibuat selepas mendapat jaminan keselamatan daripada pihak polis yang akan meningkatkan tahap keselamatan pada hari perlawanan.

Dianggarkan seramai 1,500 anggota polis akan dikerah untuk bertugas, termasuk membuat kawalan dan pemeriksaan ketat pada perlawanan itu berbanding hanya 500 anggota pada kebiasaannya.

Semalam, Selangor FC menghantar permohonan menangguhkan aksi merebut Piala Sumbangsih selepas bintang Red Giants, Faisal Halim diserang oleh dua individu tidak dikenali yang menyimbah asid ke badannya pada petang Ahad lalu.

Ekoran kejadian itu, rata-rata pemain Selangor FC bimbang dengan tahap keselamatan menjelang aksi pembuka tirai Liga M itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2024 @ 6:39 PM