PROJEK NTC tertangguh sejak lima tahun lalu.
PROJEK NTC tertangguh sejak lima tahun lalu.
Manan Samad; Firdaus Hashim dan Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Walau apa jua terjadi sekali pun, Pusat Latihan Kebangsaan (NTC) yang terletak di Presint 5, Putrajaya tetap dibina walaupun terpaksa mengambil masa lebih 10 tahun untuk direalisasikan.

Cabaran dan rintangan terpaksa diharungi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam memastikan NTC berjaya dibina kerana ramai tidak mengetahui bahawa itulah sebenarnya amanat terakhir Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah.

Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin memaklumkan usul untuk membina NTC sudah diutarakan sejak 2018 namun terdapat beberapa halangan selain perubahan kepimpinan negara menyebabkan projek itu tergendala.

Beliau berkata, projek berkenaan terbahagi kepada dua fasa dengan jumlah keseluruhan mencecah RM65 juta dan dijangka siap pada 2029.

"Kita umumkan pembinaan daripada zaman Almarhum. Memang Almarhum beri perhatian untuk ada pusat latihan berintensiti tinggi iaitu ada empat atau lima padang masa itu dekat Presint 5.

"Kita berusaha minta dengan kerajaan untuk biayai RM45 juta hingga RM 70 juta dan mengumumkan untuk siap 2025.

"Almarhum sudah wasiat di Institut Jantung Negara iaitu pastikan NTC jadi kenyataan dan ini adalah idea daripada beliau," katanya, ketika ditemui dalam sesi temubual khas, di Wisma FAM, hari ini.

Terdahulu, menerusi laporan eksklusif Arena Metro sudah hampir lima tahun projek NTC FAM diumumkan pembinaannya, namun sehingga kini 'batang hidung' bangunan atau kemudahan tidak kelihatan sehingga menimbulkan pelbagai persoalan banyak pihak mengenai status pembinaannya.

Mengikut perancangan asal, projek berkenaan yang diumumkan pada 2019 itu sepatutnya bermula pada 2022 seperti diberitahu bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu seterusnya dijangka siap pada 2025.

Hasil tinjauan Arena Metro di padang bola sepak Presint 5, Putrajaya yang dikatakan bakal menjadi NTC mendapati keadaan padang masih lagi belum ada apa-apa tanda akan ada pembangunan di kawasan itu.

Selain itu, Hamidin turut menerangkan pembinaan NTC fasa satu dengan peruntukan daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) kira-kira RM21 juta akan bermula bila-bila masa saja.

"Fasa kedua merangkumi pusat latihan tertutup, gimnasium dan pusat latihan akan bermula mungkin pertengahan hujung tahun depan dengan projek keseluruhan akan siap sepenuhnya pada 2029.

"Pusat latihan mesti ada 'class' iaitu guna padang tiruan dan bertutup seperti yang ada di Johor Darul Ta'zim (JDT)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mei 2024 @ 6:17 PM