GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.

KUALA LUMPUR: Bandar bola sepak di Presint 5, Putrajaya, dijangka mengambil masa lima tahun untuk siap sepenuhnya dengan anggaran kos keseluruhan mencecah kira-kira RM80 juta.

Bandar berkeluasan 5.3 hektar itu bakal menjadi hab kepada sukan nombor satu negara itu dengan mempunyai pusat latihan

kebangsaan FAM selepas diwartakan sebagai padang untuk bola sepak oleh Kerajaan Persekutuan menerusi Perbadanan Putrajaya.

Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, tujuan utama pembinaan pusat latihan berkenaan adalah menyediakan kemudahan latihan bertaraf dunia menepati tuntutan moden bertujuan memberi suasana prestasi tinggi demi kegunaan pasukan elit tanpa mengetepikan komuniti Putrajaya.

“Kita akan buat pembangunan baharu membabitkan kemudahan lengkap dengan pembinaannya dijangka bermula pada tahun depan.

“Wisma FAM nanti yang mengikut model pejabat atau bangunan Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) mempunyai ruang pejabat, hostel untuk pegawai serta pemain termasuklah pusat rawatan.

LOKASI sedia ada dan cadangan pembangunan sekitar Putrajaya.
LOKASI sedia ada dan cadangan pembangunan sekitar Putrajaya.

“Selain itu, kemudahan lain yang ada termasuk dua padang terbuka manakala satu pula tertutup. Jika segalanya siap nanti boleh dikatakan antara yang tercanggih di Asia Tenggara,” katanya kepada Arena Metro, baru-baru ini.

Kelmarin, Hamidin bersama delegasi FAM meninjau tapak pusat latihan kebangsaan dan ibu pejabat baharu badan induk itu yang dicadangkan menjadi sebahagian daripada bandar bola sepak di Presint 5, Putrajaya.

Ia sejajar dengan kedudukan Putrajaya sebagai Pusat Pentadbiran Negara dan juga menepati hasrat kerajaan menjadikan Presint 5 sebagai pusat sukan menerusi kewujudan bandar bola sepak.

Ibu pejabat baharu FAM diapit Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) serta sebuah stadium bola sepak moden.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 September 2019 @ 6:00 AM