Yusoff Mahadi. -FOTO NSTP
Yusoff Mahadi. -FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Liga Bolasepak Amatur (AFL) mengingatkan pasukan Liga M3 tidak berbelanja terlalu mewah membabitkan pembelian pemain bagi memastikan isu tunggakan gaji dapat dielakkan.

Pengerusi AFL Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, pasukan Liga M3 harus berpijak di bumi nyata apabila tidak terikut trend gaji tinggi yang ditawarkan kelab Liga Super bagi mengelak berhadapan masalah kewangan.

Beliau berkata, semua pasukan Liga M3 seharusnya menetapkan harga siling pemain bagi memastikan tidak berbelanja berlebihan pada masa akan datang.

"Kita sangat prihatin dengan isu tidak bayar gaji dan selalu berpesan dalam perjumpaan bersama pasukan supaya jangan berbelanja di luar kemampuan. Kita juga nasihatkan untuk (pengurusan pasukan) meletakkan harga siling gaji buat pemain.

"Kita tidak mahu lagi mereka (pasukan) ambil pemain Liga Super yang sebelum ini, mungkin gaji mereka mencecah RM40,000 pun turut dibayar dengan harga sama di Liga M3.

"Jadi saya sarankan untuk letak RM10,000 untuk pemain. Biar pasukan Liga M3 mahu ada siling gaji untuk dipatuhi," katanya.

Terdahulu, beliau mengesahkan sebanyak 14 pasukan akan mengambil bahagian dalam saingan Liga M3 musim 2023 yang sudah di naik taraf menjadi liga separuh profesional dijangka bermula Februari depan.

Kejohanan berkenaan akan menggunakan format liga dengan dua pasukan teratas bermain dalam saingan Liga Super 2024.

Mohd Yusoff turut memaklumkan rundingan mengenai proses status kewangan bersama dua pasukan lain yang berminat menyertai Liga M3 sedang berjalan dan keputusannya hanya akan diketahui dalam minggu pertama Januari depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Disember 2022 @ 1:45 PM