PEMILIK Kelantan FC, Norizam Tukiman.
PEMILIK Kelantan FC, Norizam Tukiman.
Oleh Syafiq Aznan


Kuala Lumpur: Pemilik pasukan Kelantan FC, Norizam Tukiman tetap berusaha menyelesaikan tunggakan gaji tiga bulan yang dihadapi pasukan itu apabila mengambil pendekatan melangsaikan 'hutang' itu secara beransur-ansur.

Menerusi satu penjelasan di laman TikToknya, Norizam yang lebih dikenali sebagai Zamsaham itu mengesahkan gaji pemain sudah dibayar beransur-ansur dan beliau optimis isu terbabit akan dapat diselesaikan.

"Bagi isu tunggakan gaji, hari ini dapatlah saya masukkan RM1,000 sebagai pendahuluan untuk bayar baki tiga bulan tunggakan sebab esok nak raya," katanya yang memaklumkan video itu dirakam sehari sebelum Hari Raya Aidilfitri.

Sebagai rekod, Kelantan FC yang ditendang keluar dari Liga Super susulan kegagalan mendapat lesen kebangsaan akan terus berentap dalam saingan Liga M3 bagi musim 2024/25.

Perkembangan itu disahkan Liga Bolasepak Amatur (AFL) yang menyatakan sebanyak 16 pasukan yang akan bersaing musim ini, peningkatan penyertaan berbanding tahun sebelumnya iaitu 12 pasukan.

Dalam video sama, Norizam turut menjelaskan situasi di mana bekas pemain pasukan itu, Ailee Putra Azril yang didakwa tidak menerima gaji selama tujuh bulan apabila dia memaklumkan gaji itu sepatutnya dilunaskan oleh penaja.

"Ini adalah kes terpencil dan unik di mana Ailee mahu bermain di Kelantan FC dan saya katakan boleh. Penaja katakan dia mahu membayar gaji penuh tetapi rupanya tiada bayaran dimasukkan dalam akaun Kelantan FC.

"Saya dimaklumkan bahawa ada perancangan lain membabitkan gaji dan saya katakan perkara ini kena dibincangkan dengan pemain. Jadi saya terkejut apabila mendapat surat daripada Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM).

"Memang saya akui ini tanggungjawab Kelantan FC tetapi ada perancangan daripada penaja yang bersetuju untuk membayar gaji Ailee. Apapun, penaja memberi komitmen untuk menyelesaikan masalah ini.

"Jadi untuk tunggakan tujuh bulan itu, penaja yang harus bayar tetapi mereka tidak akan lepas tangan. Saya pun mahu berjumpa dengan mereka bagi memastikan tiada isu berbangkit kerana nanti Kelantan FC yang akan kena," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 April 2024 @ 11:49 PM