KANE memegang bola perlawanan selepas berjaya meledak hatrik. FOTO AFP
KANE memegang bola perlawanan selepas berjaya meledak hatrik. FOTO AFP
Reuters

Dortmund: Harry Kane mencipta sejarah dalam penampilan pertama di Der Klassiker dengan meledak hatrik yang menakjubkan ketika Bayern Munich membelasah Borussia Dortmund 4-0 di tempat lawan.

Penyerang sensasi England itu sudah meledak 15 gol daripada 10 perlawanan Bundesliga.

Kapten England itu menjaringkan gol dari jarak dekat pada minit kesembilan selepas Dayot Upamecano menanduk masuk gol pembukaan Bayern lima minit sebelum itu, kedua-dua gol digerakkan oleh Leroy Sane.

Dortmund yang terkejut bertambah baik selepas rehat tetapi pemain yang mencipta rekod pembelian tertinggi Bayern, Kane menjaringkan gol keduanya pada minit ke-72, sekali lagi dari jarak dekat, untuk meletakkan permainan di luar jangkauan.

Kane kemudian mengesahkan kemenangan Bayern dengan melengkapkan hatrik ketiganya musim ini dan kedua berturut-turut dalam liga hasil jaringan di masa kecederaan.

Dia adalah pemain pertama yang menjaringkan 15 gol dalam 10 penampilan pertamanya di Bundesliga dan kini mendahului kedudukan penjaring terbanyak musim ini, satu gol di hadapan Serhou Guirassy dari Stuttgart.

"Kami sangat gembira kerana kami mempunyai dia dalam pasukan," kata kapten dan penjaga gol Manuel Neuer, manakala veteran Thomas Mueller bergurau bahawa Kane bilik hotel Kane tidak akan sempit dengan kehadiran bola perlawanan.

"Dia tidak lama lagi akan memerlukan bilik hotel lain," katanya.

Kemenangan meninggalkan juara bertahan itu dengan 26 mata, dua mata di belakang pendahulu Bayern Leverkusen yang sebelum itu menewaskan Hoffenheim 3-2 di tempat lawan, dibantu oleh dua jaringan daripada Alex Grimaldo.

Kekalahan liga pertama Dortmund musim ini menamatkan rentetan 25 perlawanan di tempat sendiri tanpa kalah dan meletakkan mereka di tangga keempat dengan 21 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 November 2023 @ 11:38 AM