AKSI mengagumkan Lewandowski. FOTO EPA
AKSI mengagumkan Lewandowski. FOTO EPA
AFP

Berlin: Robert Lewandowski berkata dia akan "terus bersabar" untuk memecahkan rekod Bundesliga milik Gerd Mueller yang meledakkan 40 gol semusim selepas penyerang Bayern Munich meledakkan hatrik awal pagi tadi.

Lewandowski kini sudah meledakkan 35 gol musim ini dan menghampiri rekod yang Mueller yang dilakukan pada 1971/72 untuk Bayern, selepas meletak tiga gol dalam tempoh 21 minit ketika membelasah Stuttgart 4-0 di Munich.

"Ia satu cabaran yang besar untuk sentiasa bersedia dan laparkan gol," kata Lewandowski yang menjaringkan 42 gol dalam semua kejohanan musim ini.

Semua empat gol berkenaan hadir selepas pertahanan kiri Bayern, Alphonso Davies dilayangkan kad merah pada minit ke-12.

Penyerang Poland itu masih ada lapan perlawanan Bundesliga untuk menyamai rekod Mueller dengan ramai beranggapan ia tidak akan dapat dipecahkan.

"Saya memikirkan perlawanan demi perlawanan, bukan berapa banyak gol saya perlukan. Saya tidak begitu memikirkan mengenainya," kata Lewandowski.

Dia dijangka akan menjadi penjaring terbanyak Bundesliga musim ini buat kali keempat berturut-turut dan keenam secara keseluruhannya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mac 2021 @ 12:30 PM