HAALAND menyempurnakan sepakan penalti untuk gol pertama Dortmund. FOTO EPA
HAALAND menyempurnakan sepakan penalti untuk gol pertama Dortmund. FOTO EPA
AFP

Berlin: Erling Haaland meledak dua gol tatkala Borussia Dortmund merapatkan jurang dengan pendahulu Bundesliga, Bayern Munich kepada enam mata selepas membenam Greuther Fuerth 3-0.

Haaland menjaringkan gol di kedua-dua separuh masa sebelum penyerang Belanda, Donyell Malen meledak jaringan ketiga di hujung saingan.

Kemenangan di laman sendiri itu membolehkan Dortmund untuk mengurangkan jurang di belakang Bayern, yang berada pada landasan terbaik meraih gelaran liga kali ke-10 berturut-turut apabila mengalahkan Stuttgart 5-0 semalam.

Haaland sudah meledak 19 gol dalam 15 perlawanan bersama Dortmund musim ini dan penyerang antarabangsa Norway itu sekali lagi menyinar di Signal Iduna Park.

Haaland menyempurnakan sepakan penalti pada separuh masa pertama dan menanduk masuk sepakan percuma Julian Brandt lapan minit sebelum perlawanan tamat, diikuti dengan jaringan pemain gantian, Malen untuk gol ketiga Dortmun juga berpunca dari hantaran Brandt.

Dortmund juga enam mata berada di depan pasukan tangga ketiga, Leverkusen, yang seri 2-2 di laman sendiri ketika bertemu Hoffenheim pagi tadi.

Penyerang Czech, Patrick Schick menjaringkan dua gol untuk membolehkan Leverkusen mendahului 2-0 namun Hoffenheim berjaya meledak dua gol di lewat permainan menerusi Angelo Stiller dan Munas Dabbur.

Leverkusen mengakhiri perlawanan dengan 10 pemain selepas Moussa Diaby menerima kad kuning kedua kerana mengasari Florian Grillitsch pada masa kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Disember 2021 @ 9:07 AM