AZHAR Sulaiman melontarkan pandangannya untuk sistem penjagaan padang SNBJ. FOTO NSTP
AZHAR Sulaiman melontarkan pandangannya untuk sistem penjagaan padang SNBJ. FOTO NSTP
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Pelakon terkenal Malaysia, Azhar Sulaiman mengemukakan idea terbaik kepada Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) bagi mengatasi masalah kerosakan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) dengan membina platform atau struktur jambatan di atas rumput untuk mengelak masalah sama berulang.

Menurutnya, perkara itu dapat memastikan tragedi rumput dan padang di SNBJ terjaga dari kerosakan setiap kali konsert berskala besar membabitkan artis antarabangsa.

Katanya, dengan membina platform itu, hanya terdapat sebahagian kecil sahaja padang akan rosak berbanding sebelum ini.

"Jadi, apa yang kita akan lakukan adalah saya menyarankan, kita buat seperti jambatan. Ada struktur, ia akan pasang setiap baris untuk menjadikan satu platform untuk duduk di atas rumput. Seperti yang anda lihat, ia mempunyai satu, dua, tiga titik sahaja di atas rumput ini, daripada 45 meter (m) span ini (jarak dari sepakan penjuru kanan ke kiri). Jadi, bahagian ini sahaja yang akan rosak nanti.

"Jadi, rumput sendiri tidak rosak. Nanti bila dah habis, mereka tampal balik rumput itu. Jadi, rumput itu dibuka, ditanam di luar. Selepas dah habis, kita buka struktur ini. Struktur ini seperti struktur jambatan," katanya menerusi satu video pendek di media sosial miliknya.

Jelasnya lagi, untuk memastikan keadaan rumput kekal sihat dan tidak mati begitu sahaja, di bawah platform itu nanti boleh pasang UV Lights untuk ganti matahari sekali gus memberi pencahayaan kepada rumput untuk terus kekal menghijau.

Untuk makluman, Azhar Sulaiman adalah kelulusan Universiti Kingston Upon Thames London, United Kingdom (UK) dalam jurusan Sarjana Seni Bina dan sudah terbabit dalam pelbagai projek termasuk memenangi beberapa anugerah hasil sentuhan darinya.

Terdahulu Arena Metro melaporkan Kedudukan Datuk Hans Isaac selaku Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) masih terjamin sekurang-kurangnya sehingga Jun 2025.

Biarpun ramai desakan menyarankan personaliti terkenal itu meletakkan jawatan ekoran kegagalan mengendalikan isu padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) namun Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menegaskan bahawa perlantikan Hans adalah berdasarkan kontrak dua tahun yang dipersetujui oleh ahli lembaga perbadanan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2024 @ 5:22 PM