JAROSLAV Silhavy dilantik selaku jurulatih baharu Oman. FOTO REUTERS
JAROSLAV Silhavy dilantik selaku jurulatih baharu Oman. FOTO REUTERS
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Skuad Harimau Malaya perlu melakukan persiapan lebih rapi sebelum bertemu Oman pada pertemuan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, bulan depan.

Hal ini kerana, pasukan di ranking 74 dunia itu yang sebelum ini dikatakan hilang arah, sudah kembali kepada landasannya selepas mendapat sentuhan jurulatih baharu, Jaroslav Silhavy yang berpengalaman membimbing pasukan kebangsaan Republik Czech.

Pengendali berusia 62 tahun yang pernah memenangi gelaran juara liga utama Republik Czech bersama kelab Slavia Prague itu sudah memulakan tugas sebagai ketua jurulatih Oman.

Pengumuman Silhavy sebagai ketua jurulatih baharu Oman dengan kontrak dua tahun diumumkan Persatuan Bolasepak Oman, kelmarin dengan beliau menggantikan Branko Ivankovic yang dipecat susulan prestasi buruk di Piala Asia 2023.

Oman yang berada di ranking ke-74 dunia mengharungi tempoh sukar sepanjang pusingan akhir Piala Asia 2023 di Qatar selepas tersingkir awal di peringkat kumpulan.

Persembahan buruk Oman yang hanya meraih dua mata dan menghuni tangga ketiga Kumpulan F di belakang Arab Saudi dan Thailand membawa kepada pemecatan Ivankovic.

Tugasan terbesar pertama yang akan digalas Silhavy adalah aksi Kumpulan D kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Malaysia pada 22 Mac ini di Muscat sebelum skuadnya bertandang ke Kuala Lumpur, empat hari kemudian.

Sudah pastinya, barisan anak buah Kim Pan-gon bakal menerima tentangan sengit apabila Silhavy mahu membuktikan sesuatu selepas mengambil alih Oman.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Februari 2024 @ 4:03 PM