COOLS (kanan) pada sidang media bersama Pan-gon di Wisma FAM, hari ini. FOTO AZIAH AZMEE
COOLS (kanan) pada sidang media bersama Pan-gon di Wisma FAM, hari ini. FOTO AZIAH AZMEE
Syazwan Msar


Kelana Jaya: Kapten skuad Harimau Malaya, Dion Cools mengakui Oman sebagai pasukan hampir sempurna termasuklah memiliki kekuatan di semua posisi, sekali gus mereka perlu bekerja keras jika mahu meraih kemenangan.

Cools berkata, kekalahan 0-2 di tangan Oman, Jumaat lalu, memberi 1,001 pengajaran bermakna untuk pemain Harimau Malaya supaya tampil lebih meyakinkan pada aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), malam esok.

Menurut pemain kacukan Malaysia-Belgium itu, skuad Harimau Malaya mempunyai kekuatan sendiri yang mampu menjerat pasukan bertaraf gergasi seperti Oman.

"Kami harus melupakan kekalahan lalu dan beri tumpuan sepenuhnya pada aksi menentang Oman esok dalam usaha mencerahkan peluang dalam Kumpulan D.

"Secara keseluruhan, Oman adalah pasukan yang baik dan memiliki ramai pemain bagus. Oleh itu, kita hanya perlu beraksi lebih baik daripada mereka," katanya pada sidang media praperlawanan Malaysia menentang Oman di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini.

Sementara itu, tonggak Oman, Ali Albusaidi berkata, walaupun mengetahui SNBJ adalah gelanggang keramat buat pasukan kendalian Kim Pan-gon itu, mereka tidak gentar terhadap status terbabit dan bersedia untuk membawa pulang tiga mata.

"Walau apa pun yang berlaku, kami tetap akan beraksi seperti biasa kerana tumpuan sekarang ini adalah mahu meraih kemenangan.

"Saya ada dengar mengenai kemampuan dan kehebatan Malaysia apabila beraksi di stadium sendiri. Namun, pada fikiran saja, kita datang ke sini dan harus merakam kemenangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mac 2024 @ 2:42 PM