SILHAVY  (tengah) akur keadaan permukaan padang di SNBJ. FOTO Aziah Azmee
SILHAVY (tengah) akur keadaan permukaan padang di SNBJ. FOTO Aziah Azmee
Syazwan Msar


Kelana Jaya: Pasukan Malaysia dan Oman secara rasminya tidak boleh mencuba atau menjalani latihan rasmi di Stadium Nasional, Bukit Jalil menjelang aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, malam esok.

Situasi terbabit bertentangan dengan kebiasaan iaitu pasukan bertanding diberikan peluang untuk mencuba padang akan digunakan untuk perlawanan menerusi sesi latihan rasmi sehari sebelum aksi sebenar.

Bagaimanapun, kedua-dua pasukan itu tidak akan menjalani latihan di Stadium Nasional dan difahamkan ia berkaitan keadaan padang di stadium itu tidak berada dalam keadaan terbaik.

Ketua jurulatih Oman, Jaroslav Silhavy dalam sidang media pra perlawanan, hari ini, menjelaskan bahawa pihaknya sudah sedia maklum mengenai keadaan padang Stadium Nasional yang kurang baik.

"Malangnya, kami menerima makluman mengenai cuaca di Malaysia yang kerap hujan dan (padang) tidak akan bersedia dengan baik untuk perlawanan itu.

"Pemain mengetahuinya dan akan bersedia dari segi fizikal, taktikal dan psikologi. Semalam kami dimaklumkan bahawa kami tidak akan berlatih di sana (Stadium Nasional) kerana padang tidak dalam keadaan baik untuk latihan, untuk Malaysia ataupun Oman, situasi tidak bagus untuk kedua-dua pasukan," katanya.

Berdasarkan maklumat disediakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), pasukan kebangsaan akan menjalani latihan di Wisma FAM, manakala Oman pula di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ).

Sementara itu, ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan Gon menuntut janji daripada kontraktor berjanji akan menyediakan padang terbaik di Stadium Nasional bagi aksi, malam esok.

Pengendali dari Korea Selatan itu menjelaskan, kontraktor sebelum ini berjanji akan menyediakan padang terbaik bagi perlawanan keempat Kumpulan D itu.

"Mengenai padang (Stadium Nasional), saya belum lihat lagi. Kontraktor janji akan bagi padang yang terbaik pada hari perlawanan. Jadi kami perlukan padang yang baik, harap esok kami dapat lihat padang yang bagus," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mac 2024 @ 4:29 PM