RASHEED (kanan) dan Ajibola Daniel bergambar bersama Piala AFC. FOTO ASWADI ALIAS
RASHEED (kanan) dan Ajibola Daniel bergambar bersama Piala AFC. FOTO ASWADI ALIAS
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Status sebagai pasukan pilihan untuk memenangi Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2022 tidak membuatkan kelab dari Oman, Al Seeb mudah terlupa ancaman akan diberikan Kuala Lumpur City (KL City) di final di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), malam esok.

Ini kerana, KL City yang tampil sebagai pasukan 'underdog' sudah pastinya lebih bersedia menerusi barisan pemain lebih mantap dan sokongan padu penyokong sendiri untuk memastikan Piala AFC milik mereka.

Ketua jurulatih Al Seeb, Rasheed Jabar berkata, semua pemain sudah bersedia sepenuhnya untuk memberikan yang terbaik di atas padang dalam usaha melakar sejarah menjadi kelab pertama dari Oman menjuarai trofi berprestij itu.

"Ini adalah detik membanggakan buat kelab dan negara kami untuk melangkah ke pentas final dan sudah tentu semua pemain bersedia memberikan 100 peratus bagi mengharungi final ini.

"Jika ditanya mengenai pasukan KL City, saya anggap mereka adalah pasukan yang berkualiti dengan ramai pemain bagus tidak kira secara individu mahupun berpasukan.

"Apa yang pasti, saya tidak bersetuju jika ditanya kami adalah pasukan pilihan kerana ini adalah pentas final, apa sahaja boleh berlaku dalam tempoh 90 minit perlawanan," katanya pada sidang media pra perlawanan final Piala AFC 2022 di SNBJ, hari ini.

Rasheed turut gembira apabila Video Bantuan Pengadil (VAR) diperkenalkan untuk aksi final kali ini, sekali gus memastikan perlawanan dapat diadili tanpa sebarang kontroversi.

"Kalau boleh saya mahu VAR dilaksanakan sejak peringkat kumpulan lagi kerana jika negara lain boleh melakukannya, kenapa tidak pada kejohanan ini," katanya.

Sementara itu, kapten yang juga pemain tengah Al Seeb, Ajibola Daniel enggan status selaku pasukan pelawat dijadikan alasan untuk barisan pemain tidak memberikan tentangan sengit seperti diharapkan.

"Secara jujur, kami beraksi di gelanggang lawan dan ini adalah kali pertama kami beraksi di sini dengan keadaan padang seperti ini.

"Namun, selepas beberapa hari menjalani latihan, pemain tidak mempunyai masalah untuk sesuaikan diri. Apa yang penting sekarang adalah masa untuk pemain terapkan taktikal jurulatih sebaik mungkin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Oktober 2022 @ 6:41 PM