AFP

Santos, Brazil: Bekas pemain Manchester City dan Real Madrid Robinho ditangkap awal pagi tadi selepas gagal dalam usaha terakhir menangguhkan hukuman sembilan tahun penjara di atas kesalahan merogol wanita Albania hampir sedekad lalu.

Hakim Mahkamah Agung Luiz Fux menolak rayuan Robinho dan mengekalkan arahan penahanan bagi membolehkan hukuman dijalankan atasnya.

Polis Persekutuan di Santos dalam kenyataan kepada AFP berkata 'waran tangkap dikeluarkan ke atas Robson de Souza.'

"Pesalah akan menjalani ujian perubatan di Institut Perubatan Perundangan sebelum dihantar ke penjara."

Pemain yang lebih popular dengan panggilan Robinho itu didapati bersalah oleh mahkamah Itali pada 2017 selepas terbabit jenayah rogol berkumpulan ke atas wanita Albania yang meraikan hari jadi ke-23 di kelab malam di Milan empat tahun sebelum itu.

ROBINHO kini meringkuk dalam penjara.
ROBINHO kini meringkuk dalam penjara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mac 2024 @ 10:08 AM