KETUA Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam. FOTO ARKIB NSTP
KETUA Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam. FOTO ARKIB NSTP
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Penantian untuk melihat mekanisma baharu bagi menangani isu tunggakan gaji daripada terus menjadi barah bakal berakhir apabila Peraturan 'Financial Fair Play' (FFP) bakal diumumkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL), hujung bulan ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam berkata, pelaksanaan FFP dalam konteks Liga Malaysia (Liga M) bakal diumumkan dengan ruang lingkup peraturan itu berdasarkan budaya tempatan dan meletakkan kelestarian Liga Malaysia (Liga M) sebagai objektif utama.

Katanya, mekanisma berkenaan sudah pastinya berbeza dengan pendekatan FFP yang sudah digunapakai di liga terkemuka dunia.

"Kita kena faham apabila kita merujuk FFP di liga terkemuka dunia contohnya di Eropah, pendekatan mereka berbeza dari segi terlebih belanja, penggunaan untuk 'sport washing' dan kegiatan perbelanjaan mereka untuk tiga ke empat tahun kewangan.

"Kalau dalam konteks kita, kita hanyalah isu gaji dan sebab itulah, FFP kita berbeza dengan FFP di negara yang bola sepaknya lebih matang.

"Kita kena faham konteks FFP ini kerana masalah kita hanyalah masalah tidak bayar gaji," kata Stuart ketika ditemui pada aksi bola sepak persahabatan antara SK Riong (gabungan Harian Metro, BH dan NSTP) menentang MFL di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), di Kelana Jaya, malam tadi.

Terdahulu, menerusi laporan khas dan cadangan Arena Metro sejak Ogos tahun lalu, pelaksanaan FFP dalam Liga M bukan sahaja dapat menyekat perbelanjaan 'tak ingat dunia' setiap pasukan, tetapi ia adalah panduan perbelanjaan secara berhemah bagi memastikan tiadanya isu tunggakan gaji.

Untuk rekod, FFP adalah satu mekanisme kawalan ke atas perbelanjaan kelab untuk memastikan akaun kelab kekal sihat daripada hutang melampau.

Di Eropah misalnya, Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) menekankan dua elemen penting dalam FFP iaitu pertama, semua kelab wajib meletakkan paras gaji setiap pemain di bawah paras 70 peratus daripada pendapatan kelab apabila gaji pemain ini tertakluk di bawah hutang keseluruhan.

Manakala perkara kedua adalah hutang keseluruhan kelab tidak melebihi 80 peratus daripada pendapatan kelab bagi menjamin kelancaran pengurusan untuk sepanjang musim.

Malah, kelab wajib membentangkan modal dan pendapatan sebelum berbelanja dengan perancangan musim hadapan perlu dibentangkan sebelum musim semasa berakhir.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mac 2024 @ 6:57 PM