Izer Hamkha
Izer Hamkha
Oleh Firdaus Hashim


Kekang belanja luar keupayaan

Kuala Lumpur: Kewujudan Financial Fair Play (FFP) dalam Liga Malaysia (Liga M) secara automatik bakal menyekat nafsu serakah segelintir pengurusan kelab yang tidak mengukur baju di badan sendiri.

Menurut seorang mangsa, Izer Hamkha Mohd Haizal yang pernah berdepan isu tunggakan gaji berbulan-bulan dengan kelab Marcerra United, FFP wajib diadakan bagi menyelamatkan karier pemain tempatan.

Katanya, dia yang serik dan mengambil keputusan meninggalkan dunia bola sepak menganggap kewujudan FFP amat bermanfaat terutama dalam menghalang pasukan kecil berbelanja besar demi mendapatkan pemain ternama.

"Memang bagus bila ada FFP. Sebab berdasarkan pengalaman saya main dalam Liga Malaysia, memang ada pasukan khususnya kelab kecil ini mengikat pemain yang mahal sedangkan kelab tak ada duit.

"Bila tak ada pemantauan ketat, sebab itu ada kelab tetap ambil pemain mahal dan akhirnya tak dapat nak bayar gaji. Macam dulu, ada pasukan bertanding hanya dalam Piala FAM, tapi ikat pemain bintang sebab apa? Sebab ingat nak menang tapi akhirnya pasukan tak capai sasaran, malah berhutang pulak dengan pemain.

"Jadi bila ada FFP, saya berpendapat ia boleh sekat kelab daripada berbelanja ikut suka tanpa lihat poket sendiri," katanya.

Akhbar ini semalam melaporkan, kewujudan FFP dilihat mampu mengelak krisis lebih besar dalam saingan Liga M khususnya aspek kemampanan kewangan pasukan bertanding.

Untuk rekod, FFP adalah satu mekanisme kawalan ke atas perbelanjaan kelab untuk memastikan akaun kelab kekal sihat daripada hutang melampau. Ia juga membantu kelab supaya lebih cekap dalam menguruskan perbelanjaan dan tidak mengikut emosi terutama dalam mengikat pemain.

Di Eropah misalnya, Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) menekankan dua elemen penting dalam FFP iaitu pertama, semua kelab wajib meletakkan paras gaji setiap pemain di bawah paras 70 peratus (%) daripada pendapatan kelab, di mana gaji pemain ini tertakluk di bawah hutang keseluruhan.

Manakala perkara kedua adalah hutang keseluruhan kelab tidak melebihi 80% daripada pendapatan kelab bagi menjamin kelancaran pengurusan untuk sepanjang musim. Malah, kelab juga wajib membentangkan modal dan pendapatan sebelum berbelanja dengan perancangan musim hadapan perlu dibentangkan sebelum musim semasa berakhir.

Wajib ada FFP, program akar umbi

Kuala Lumpur: "(Ia) untuk kawal pasukan berbelanja ikut kemampuan, jadi tiada lebihan perbelanjaan dan tak bayar gaji pemain."

Itu antara pandangan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mahu Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) segera melaksanakan Financial Fair Play (FFP) dalam saingan Liga Malaysia selewat-lewatnya mulai musim depan.

Jelas Tunku Ismail yang juga pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), kewujudan FFP amat penting dalam memastikan kestabilan kelab dapat dikekalkan untuk tempoh panjang sekali gus mengelak risiko pasukan menarik diri daripada bertanding.

"Demi kelab bertahan lama kerana tak semua kelab ada keistimewaan sapu duit kerajaan setiap tahun," kata Tunku Ismail di laman sosialnya sebelum ini.

Untuk rekod, terdapat beberapa kelab Liga Malaysia terpaksa 'tutup kedai' atau menarik diri ekoran kegagalan mengawal perbelanjaan pasukan disebabkan masalah tunggakan gaji dan lain-lain.

Antara yang terpaksa mengucap 'selamat tinggal' kepada Liga Malaysia adalah Kuantan FA, Marcerra United, Perlis FA dan Melaka United.

Selain itu, ada juga pasukan mengalami tunggakan gaji, namun masih beraksi di saingan tempatan antaranya Sarawak United.

Malah, difahamkan terdapat beberapa pasukan bergelut dengan masalah pembayaran gaji lewat yang sepatutnya tidak boleh berlaku ketika Liga Malaysia memasuki sepenuhnya era profesional.

Tunku Ismail berkata, selain pengenalan FFP di saingan tempatan, bekas Presiden FAM itu juga mahu setiap pasukan memperkasakan pembangunan di peringkat akar umbi.

"PJ City (Petaling Jaya City) jalin kerjasama dengan Manchester City, di mana PJ City pada hari ini? Saya bekerjasama dengan banyak kelab antaranya Dortmund, Juventus, City Group, Valencia dan Saporro dari Jepun.

"Tetapi kami hanya berkongsi kepakaran, pembangunan dan perancangan sahaja. Kelangsungan kelab, strategi komersial, duit, pembangunan akar umbi dan infrastruktur semua kena buat sendiri.

"Tiada orang tolong kita. Sebab itu saya cadangkan tahun depan FAM dan MFL melaksanakan FFP dan setiap pasukan mesti ada program akar umbi, wajib," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Ogos 2023 @ 10:00 AM