SCOTLAND ketika berjaya mengesahkan slot ke Euro 2024. FOTO Reuters
SCOTLAND ketika berjaya mengesahkan slot ke Euro 2024. FOTO Reuters
Reuters

Zurich: Keputusan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) memperluaskan Piala Dunia 2026 kepada 48 pasukan dibuat untuk memberi peluang Scotland kembali melayakkan diri selepas hampir 30 tahun, kata Presiden badan induk itu, Gianni Infantino dalam nada bergurau sambil memuji kelayakan negara itu mara ke Euro 2024 di Jerman.

Kali terakhir Scotland muncul di Piala Dunia di Perancis pada 1998 di mana mereka menduduki tempat tercorot Kumpulan A di belakang Brazil, Norway dan Maghribi.

Mereka gagal melayakkan diri di enam edisi terakhir kejohanan global itu, yang menampilkan 32 pasukan.

Selepas mara ke Euro kali kedua berturut-turut tahun ini, Scotland berharap dapat mara ke Piala Dunia 2026, yang akan dianjurkan bersama oleh Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico saingan kali pertama dianjurkan dengan format jumlah pasukan diperluaskan.

"Scotland layak agak cemerlang untuk Euro," kata presiden Fifa itu kepada BBC Scotland.

"Biar saya memberitahu rahsianya, kami memutuskan untuk meningkatkan daripada 32 kepada 48 pasukan untuk membolehkan Scotland mengambil bahagian.

"Scotland akan mempunyai peluang besar dan jika mereka layak, saya pasti peminat Scotland akan berseronok."

Scotland terlepas peluang melayakkan diri ke Piala Dunia 2022 di Qatar, selepas tewas kepada Ukraine pada separuh akhir playoff Eropah.

Dalam lapan edisi Piala Dunia yang mereka hadapi, Scotland, yang mempunyai badan induk kebangsaan kedua tertua di dunia selepas England, tidak pernah melepasi peringkat kumpulan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mac 2024 @ 9:02 PM