PENGENDALI Scotland, Steve Clarke bersama pasukannya. FOTO Agensi
PENGENDALI Scotland, Steve Clarke bersama pasukannya. FOTO Agensi
AFP

Munich, Jerman: Pengendali Scotland, Steve Clarke menegaskan pasukannya tidak perlu khuatir berdepan mana-mana lawan termasuk menentang pasukan tuan rumah Euro 2024 iaitu Jerman yang dijadual berlangsung di Munich.

Clarke dalam misi muncul jurulatih pertama membawa Scotland melepasi ke fasa kalah mati kejohanan utama, namun berdepan juara Eropah tiga kali itu bukanlah mudah.

"Kami sangat menghormati negara tuan rumah dan kami tahu mereka pasukan yang bagus," kata Clarke.

"Ia perlawanan yang sukar. Salah satu falsafah yang saya pegang ialah menghormati semua orang dan tidak takut sesiapa pun," katanya.

Scotland mara ke pusingan akhir Euro buat kali keempat dalam sejarah bola sepak negara itu.

Dalam 11 penampilan terakhir di pentas kejohanan terbesar dunia sebelum ini termasuk lapan kali layak ke Piala Dunia, Scotland tidak pernah melepasi peringkat kumpulan.

Skuad kendaliannya mempamerkan aksi cemerlang pada peringkat kumpulan kelayakan yang menampilkan Sepanyol dan Norway.

Jelas Clarke, beliau menyasarkan mahu membawa pasukan mara ke pusingan kalah mati dan menganggap pertemuan dengan Jerman sukar.

"Kami tahu ia adalah perlawanan yang besar, tetapi ia adalah perlawanan pembukaan kejohanan. Kami tahu apa yang perlu kami lakukan untuk layak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2024 @ 7:05 AM