KHYRIL mengakui Azraai bertanggungjawab mengembangkan kariernya sebagai pemain profesional. FOTO FB MOHD KHYRIL MUHYMEEN ZAMBRI
KHYRIL mengakui Azraai bertanggungjawab mengembangkan kariernya sebagai pemain profesional. FOTO FB MOHD KHYRIL MUHYMEEN ZAMBRI
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Bekas anak didik legenda bola sepak, Azraai Khor Abdullah iaitu Khyril Muhymeen Zambri tidak pernah menganggap individu terbabit sebagai jurulatih, namun lebih kepada ayah yang bertanggungjawab mengembangkan kariernya sebagai pemain profesional.

Khyril yang pernah berada dalam skuad emas Kedah pada 2007 dan 2008 berkata, Azraai cukup berani menyenaraikan pemain muda untuk membarisi kesebelasan utama dengan percaturannya itu membantu pasukan terbabit menjulang mahkota kejuaraan liga.

Katanya, bekas jurulatih itu mempunyai pengetahuan tinggi dalam bola sepak dan sering merencanakan strategi berkesan sehingga mampu menjulang kejuaraan double treble untuk Kedah pada 2007 dan 2008.

"Allahyarham adalah individu bertanggungjawab menaikkan dan mengembangkan bakat saya dan beberapa pemain muda lain seperti Baddrol Bakhtiar dan Khairul Helmi Johari.

"Bayangkan, pada ketika itu kami rata-rata berusia 18 dan 19 tahun, namun beliau berani menyenaraikan kami dalam kesebelasan utama pada perlawanan penting.

"Karakternya lebih kepada sebagai seorang ayah membantu pemain meningkatkan keupayaan masing-masing. Kehilangannya cukup dirasai kerana tiada Azraai mungkin kami tidak menyinar ketika itu," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, arena bola sepak negara terus berduka apabila Azraai disahkan meninggal dunia selepas mendapatkan rawatan susulan di sebuah hospital di Kedah, semalam.

Berita sedih itu dikongsi anaknya dikenali sebagai Firdaus Zainuddin menerusi laman sosial Facebooknya yang memaklumkan Azraai sudah meninggal dunia.

Khyril, Baddrol dan Khairul Helmi antara individu yang berada dalam skuad emas Kedah 2007 dan 2008, sekali gus membantu pasukan itu meraih gelaran double treble.

Kedah di bawah kendalian Azraai mencipta rekod paling cemerlang 'double treble' apabila melengkapkan koleksi tiga gelaran iaitu Juara Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia selama dua musim berturut-turut iaitu pada 2007 dan 2008.

Bekas pemain Kedah era 1970-an itu yang nama asalnya Khor Sek Leng pernah menyarung jersi skuad kebangsaan dari 1975 hingga 1978 dengan menganggotai skuad ke Piala Raja Thai, Pra-Olimpik, Pestabola Merdeka, Piala Asia 1976 di Tehran dan Sukan Asia 1978 di Bangkok.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Februari 2024 @ 5:01 PM