ADSHEAD ketika ini beraksi bersama AFC Fylde di Liga Kebangsaan. FOTO AFC FYLDE
ADSHEAD ketika ini beraksi bersama AFC Fylde di Liga Kebangsaan. FOTO AFC FYLDE
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Skuad Harimau Malaya nampaknya berpeluang menambah kekuatan pasukan khususnya di jentera tengah selepas muncul seorang lagi calon baharu, Daniel Adshead yang dikaitkan memiliki darah Malaysia.

Berdasarkan semakan di beberapa platform laman sosial terutamanya di laman antarabangsa, transfermarkt.com yang berpengkalan di United Kingdom mengesahkan Adshead adalah pemain warisan Malaysia biarpun dia dilahirkan di Manchester, England.

Malah menerusi profil pemain berusia 23 tahun yang beraksi di posisi tengah itu, nyata kelibatnya bukan biasa-biasa di mana dia sebelum ini pernah mewakili pasukan England bawah 18 (B-18) dan B-19 pada 2018 serta 2019 lalu.

Adshead yang berstatus pemain pinjaman dari kelab Liga Kejuaraan, Cheltenham Town, kini bermain untuk AFC Fylde di Liga Kebangsaan yang juga saingan tahap lima di England ketika ini.

Meskipun pernah mewakili skuad remaja England, Adshead masih boleh menyarung jersi skuad Harimau Malaya kerana masih belum membuat penampilan rasmi antarabangsa bersama skuad senior, dan situasi itu adalah sama seperti Dion Cools yang pernah memperkuatkan pasukan remaja kebangsaan Belgium sebelum ini.

Lantas jika Adshead berjaya dipujuk dan mengikut jejak yang dilakukan Cools, sudah pasti kekuatan pasukan negara kendalian Kim Pan-gon bakal bertambah mantap khususnya dalam misi untuk cuba membuat kejutan layak ke Piala Dunia 2026 buat pertama kalinya dalam sejarah bola sepak negara.

Malah penampilan Adshead itu juga mampu mengekalkan keseimbangan pasukan dikala beberapa pemain warisan di bahagian tengah seperti Brendan Gan dilihat semakin dimamah usia.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sedang memantau perkembangan tiga hingga empat pemain warisan yang boleh diserapkan ke dalam skuad Harimau Malaya.

Jelas Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman pada minggu lalu, pihaknya sudah menyerahkan nama pemain terbabit kepada Pan-gon dan kini terpulang kepada pengendali negara itu untuk memanggil atau tidak kelompok tonggak terbabit.

"Saya sudah maklumkan sebelum ini bahawa kami telah kenal pasti beberapa pemain. Kami juga mengalu-alukan jika ada maklumat atau maklum balas daripada luar," katanya.

Sebelum ini, beberapa nama hangat diperkatakan kerana memiliki profil yang cukup memberangsangkan seperti Ferdy Druijf, Wounter Burger dan lain-lain sedang berkembang dengan baik di Eropah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Februari 2024 @ 1:43 PM