COOLS (kiri) ketika sesi latihan Harimau Malaya. FOTO FAM
COOLS (kiri) ketika sesi latihan Harimau Malaya. FOTO FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Tonggak kacukan Belgium-Malaysia, Dion Cools mengakui tidak merasa sebarang bebanan mahupun tekanan ketika pasukan nyata menyandarkan harapan begitu besar di bahunya terutama dalam memastikan tembok negara kekal ampuh dan tidak mudah roboh.

Jelas pemain pertahanan skuad Harimau Malaya itu, pengalaman beraksi di pentas Eropah sejak remaja adalah aset berharga yang akan dicurahkan Cools apabila turun menentang Thailand dalam aksi pertama Piala Raja Thai, di Stadium 700th Anniversary, di Chiang Mai, Thailand malam esok.

Katanya, pengendali negara Kim Pan-gon sentiasa memberi nasihat dan mahu dirinya menggunakan segala pengalaman untuk membantu pasukan.

"Dia mahu pengalaman saya di bawa dalam pasukan, dan saya rasa hubungan kami dalam pasukan juga baik dalam bola sepak.

"Kami faham apa corak permainan yang diinginkannya (Pan-gon), jadi saya perlu memainkan peranan berada di belakang untuk memandu pasukan sebaik mungkin yang saya mampu lakukan, dan saya rasa sebab itu beliau mempercayai saya.

"Di Eropah saya sentiasa mahu bantu pasukan dan 'guide' dari belakang, jadi saya tak fikir ia beri tekanan kepada saya.

"Tetapi ia sebahagian tugas sebagai pemain bola sepak untuk membantu pasukan sebaik mungkin dalam perlawanan," katanya yang sudah meraih 11 penampilan bersama skuad Harimau Malaya.

Sebelum ini, pemain berusia 26 tahun itu antara watak utama memastikan pasukan negara layak ke pentas Piala Asia 2023 pada pusingan kelayakan, yang berlangsung di Bukit Jalil Jun lalu.

Baru-baru ini, Pan-gon turut menamakan Cools sebagai salah seorang daripada ketua pasukan bersama Safawi Rashid dan Syafiq Ahmad.

Cools yang kini beraksi bersama kelab Liga Republik Czech, FK Jablonec dijangka berada dalam kesebelasan utama Harimau Malaya pada aksi pembukaan kejohanan empat penjuru menentang Thailand di Chiang Mai itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 September 2022 @ 4:17 PM