ELDSTAL beraksi di posisi pertahanan.
ELDSTAL beraksi di posisi pertahanan.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Persaingan sengit untuk berada dalam kesebelasan utama di posisi pertahanan langsung tidak menggentarkan Junior Eldstal apabila bersedia bersaing secara sihat merebut tempat dalam senarai utama.

Jelas pemain berdarah warisan itu, dia bertekad mencuri perhatian pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon yang dalam rangka persiapan ke Piala Asia di Qatar Januari depan.

Lantas, dia perlu membuktikan kemampuannya pada Pestabola Merdeka di mana Malaysia akan turun menentang India di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Jumaat ini.

"Kem kali ini adalah persediaan untuk Piala Asia dan kami perlu memahami taktikal yang dikehendaki jurulatih. Untuk itu saya berikan 100 peratus kepada negara kerana banyak persaingan terutama di skuad kebangsaan," katanya yang kini beraksi di Liga 1 Indonesia bersama Dewa United.

Ketika ini, terdapat sekurang-kurangnya tiga pesaing di posisi pertahanan tengah iaitu Dion Cools, Dominic Tan dan Sharul Nazeem Zulpakar.

Kebiasaanya, Pan-gon gemar menggunakan Cools di bahagian tengah bersama Dominic dan dibantu dua lagi tonggak pertahanan kanan dan kiri iaitu Corbin Ong serta Matthew Davies.

Begitupun, Eldstal tetap menyerahkan segala-galanya kepada kebijaksanaan Pan-gon dalam menentukan kesebelasan terbaik nanti.

"Saya mempunyai hubungan baik dengan jurulatih kerana dia tahu kekuatan dan kelemahan saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2023 @ 5:49 PM