BEKAS pemain kebangsaan, Azlan Johar. -FOTO NSTP
BEKAS pemain kebangsaan, Azlan Johar. -FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sudah boleh berkira-kira untuk menubuhkan jabatan tunggakan gaji dalam usaha menyelesaikan masalah itu daripada membelenggu pasukan Liga Super kelak.

Cadangan itu dikemukakan bekas pemain kebangsaan Azlan Johar yang melihat imej dan populariti Liga Malaysia (Liga M) di peringkat antarabangsa sudah mula tercalar disebabkan isu tunggakan gaji.

Malah, Azlan yang juga pengulas bola sepak tempatan turut mencadangkan supaya pasukan Liga Super menyediakan wang cagaran kepada MFL sebanyak RM5 juta setiap musim sebagai bukti kelab mempunyai sumber kewangan kukuh selain boleh digunakan untuk membayar tunggakan gaji.

"Pada masa sama, MFL juga boleh menguatkuasakan peraturan supaya setiap bulan, pasukan menghantar penyata bayaran gaji, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Perkeso sebagai bukti mereka sudah menyelesaikannya gaji pemain.

"Satu penyakit yang susah diubati. Lebih menyedihkan masalah terbabit menyebabkan imej dan populariti Liga M menurun.

"Jika bercakap mengenai prestasi pemain juga akan memberi kesan seterusnya menjejaskan perkara lain termasuklah membabitkan skuad kebangsaan," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum itu, Arena Metro melaporkan terdapat pemain bola sepak terpaksa pinjam duit dan jual segala barangan peribadi hingga boleh dikatakan hilang 'air muka' akibat berhadapan masalah tunggakan gaji.

Hakikat itu terpaksa diterima seorang pemain bola sepak sebuah kelab bertaraf gergasi selepas pasukannya dikatakan mengalami selepas mengalami tunggakan gaji hingga tiga bulan.

Mengikut rekod, selepas hampir dua musim Liga M melalui penswastaan, masalah tunggakan gaji belum dapat 'dicuci' sepenuhnya apabila beberapa kelab bertaraf gergasi turut mengalami masalah tunggakan pemain mereka.

Difahamkan, ketika ini antara pasukan yang dipalit isu gaji adalah membabitkan Kedah Darul Aman (KDA) FC, Sabah FC, Kelantan FC, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur City (KL City) FC.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 November 2023 @ 5:31 PM