SKUAD SANG Kenari giat menjalani latihan. FOTO KDA FC
SKUAD SANG Kenari giat menjalani latihan. FOTO KDA FC
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) mempunyai 'talian hayat' seminggu sahaja lagi untuk menyelesaikan bayaran penuh tunggakan gaji 2023 sebelum First Instance Body (FIB) melihat sama ada mereka akan kekal di Liga Super atau turun ke Liga M3 bagi musim 2024/2025.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Stuart Ramalingam berkata, pihaknya memberi ruang penuh kepada pasukan KDA FC untuk mereka menyelesaikan segala permasalahan yang dihadapai ketika ini.

Jelas Stuart lagi, beliau juga kerap berhubung dengan pasukan yang berpengkalan di utara itu bagi mendapatkan maklumat dari semasa ke semasa.

"Buat masa ini, saya mahu memberi Kedah semua ruang untuk menyelesaikan masalah mereka tanpa menambah tekanan yang tidak diingini ke atas mereka.

"Kelab mengetahui tindakan yang boleh diambil dan saya kerap berkomunikasi dengan pemangku CEO (KDA FC, Shahrul Samsudin) dan pemilik kelab sendiri (Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar)," katanya kepada Arena Metro.

Terdahulu, FIB mengambil tindakan tegas kepada KDA FC dengan permotongan tiga mata bagi pertandingan Liga Super musim 2024-2025.

Hal itu terjadi kerana kegagalan kelab berkenaan gagal membuat penyelesaian penuh tunggakan gaji bagi tahun 2023 selain mereka turut dikenakan denda RM50,000.

Selain itu, KDA FC diberikan tempoh hingga 20 April ini untuk membuat pembayaran penuh tunggakan gaji itu atau mengemukakan bukti dokumen kewangan bagi menyelesaikan pembayaran.

Sekiranya gagal, maka lesen kebangsaan KDA FC boleh ditarik balik, seterusnya kelab itu tidak layak untuk beraksi dalam saingan Liga Super bagi musim 2024-2025 dan akan bersama Kelantan FC bermain di Liga M3.

Sementara itu, pengurusan KDA FC dijangka memberikan penjelasan berhubung beberapa perkara yang melanda kelab itu, minggu depan.

Pemilik majoriti kelab Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar berkata, pihaknya dalam pertimbangan untuk mengadakan sidang media bagi menjawab segala persoalan berhubung kemelut yang melanda kelab berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2024 @ 11:30 AM