PEMAIN Kedah gigih jalani latihan di Stadium Majlis Perbadaran Kubang Pasu (MPKB). FOTO KDA FC
PEMAIN Kedah gigih jalani latihan di Stadium Majlis Perbadaran Kubang Pasu (MPKB). FOTO KDA FC
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) menerima tamparan hebat menjelang sepak mula saingan Liga Malaysia (Liga M) Mei ini apabila muncul pasukan pertama dipotong mata ekoran kegagalan menjelaskan tunggakan gaji musim lalu.

Keputusan itu diputuskan badan bebas, First Instance Body (FIB) hari ini apabila Pengerusinya, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif mengumumkan pemotongan tiga mata dikuatkuasakan serta merta dan denda RM 50,000 ke atas KDA FC.

Katanya, kelab itu didapati gagal membuat penyelesaian penuh tunggakan gaji bagi tahun 2023 yang berakhir pada 30 Mac lalu yang ditetapkan FIB sebelum ini.

"FIB mengambil maklum surat daripada KDA FC bertarikh 28 Mac 2024 berkaitan penyelesaian 50 peratus jumlah tunggakan gaji bagi tahun 2023 serta surat persetujuan penjadualan pembayaran baki tunggakan gaji yang ditandatangani 75 peratus pemain dan pegawai terlibat bertarikh 29 Mac 2024.

"Namun, ianya masih tidak mematuhi peraturan yang telah ditetapkan iaitu penyelesaian penuh tunggakan bayaran gaji bagi tahun 2023.

"Oleh demikian, pasukan KDA FC dikenakan pemotongan tiga mata bagi saingan Liga Super musim 2024-2025 serta denda sebanyak RM 50,000 berkuatkuasa serta merta semalam, Khamis 4 April 2024 berdasarkan kepada Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2023 "Article 2.4 (c) Licensing Sanctions", katanya.

Menurutnya lagi, jika KDA FC diberi lanjutan masa sehingga 20 April ini untuk menunaikan tanggungjawab itu dan jika masih gagal skuad Hijau Kuning berisiko ditarik Lesen Kebangsaan, sekaligus gagal beraksi di Liga Super musim ini.

"Sekiranya KDA FC gagal membuat pembayaran penuh tunggakan gaji bagi tahun 2023 atau mengemukakan bukti dokumen kewangan untuk menyelesaikan pembayaran pada 20 April 2024 jam 5.00 petang, maka Lesen Kebangsaan KDA FC boleh ditarik balik.

"Ia seterusnya menyaksikan kelab itu tidak layak untuk beraksi dalam saingan Liga Super bagi musim 2024-2025," katanya.

Sementara itu, FIB mengesahkan bahawa kelab Kuala Lumpur City FC (KL City) sudah berjaya menyelesaikan pembayaran tunggakan gaji bagi tahun 2023 sebelum tarikh akhir 30 Mac 2024.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 April 2024 @ 12:17 PM