SAFAWI (tengah) dan Akhyar (kiri) dikatakan bakal menyarung jersi TFC musim ini. FOTO GHAZALI KORI
SAFAWI (tengah) dan Akhyar (kiri) dikatakan bakal menyarung jersi TFC musim ini. FOTO GHAZALI KORI
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: "Tunggu dan lihat, tapi apa saya boleh maklumkan ada perkembangan positif mengenai dua pemain itu bersama TFC," kata Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Mohd Sabri Abas.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan terkini mengenai dua bintang Johor Darul Ta'zim (JDT), Safawi Rasid dan Akhyar Rashid yang dikatakan bakal menyarung jersi TFC dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) 2024/2025.

Jelas Mohd Sabri, setakat ini pihaknya belum bersedia untuk mengesahkan kehadiran dua pemain Harimau Malaya itu sehinggalah semua urusan selesai.

Bagaimanapun, jelasnya, perkembangan dan urusan berkaitan untuk menyenaraikan dua penyerang itu menyarung jersi skuad Penyu setakat ini begitu cerah.

"Saya tidak nafikan peminat bagaikan tidak sabar dan menanti perkembangan seterusnya mengenai dua pemain itu yang sebelum ini diuar-uarkan bakal menyarung jersi TFC selepas dilepaskan JDT secara pinjaman.

"Bagaimanapun saya harapkan peminat bertenang dan menanti pengumuman bakal dimaklumkan pihak pengurusan TFC tidak lama lagi," kata Mohd Sabri.

Terdahulu Safawi, 27, yang pernah menyarung jersi kelab Terengganu iaitu T-Team memaklumkan dia bakal menabur bakti bersama pasukan negeri kelahirannya pada musim ini selepas tujuh tahun berkhidmat bersama pasukan Harimau Selatan itu bermula 2017.

Manakala menurut sumber sebelum ini, Akhyar, 25, pemain kelahiran Alor Setar, Kedah dikatakan hampir pasti mengikut jejak rakan sepasukannya itu dengan menyarung jersi TFC selepas sah dilepaskan JDT secara pinjaman, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Mohd Sabri memaklumkan, latihan pertama skuad Penyu bakal bermula pada 15 Februari ini sebagai persediaan awal menjelang sepak mula Liga Super pada 10 Mei ini.

"Jika proses berjalan dengan lancar, semua pemain termasuk import baharu bakal menjalani latihan pertama pada tarikh berkenaan, namun ia bergantung kepada keadaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Februari 2024 @ 9:46 AM