AKSI Akhyar pada perlawanan kelayakan Piala Asia 2023, Malaysia menentang Bangladesh di Stadium Nasional, Bukit Jalil. -FOTO NSTP
AKSI Akhyar pada perlawanan kelayakan Piala Asia 2023, Malaysia menentang Bangladesh di Stadium Nasional, Bukit Jalil. -FOTO NSTP
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Bintang Johor Darul Ta'zim (JDT), Akhyar Rashid hampir pasti bakal menyarung jersi skuad Terengganu FC (TFC) dalam mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Menurut sumber Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, rundingan kelab itu bersama pihak pengurusan skuad Harimau Selatan setakat ini berjalan dengan lancar dalam suasana yang harmoni.

Bagaimanapun jelas sumber itu lagi, kini ada beberapa lagi perkara yang belum diselesaikan, harap peminat setia bersabar dan tidak membuat sebarang spekulasi kerana berkeyakinan ianya dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

"Ya betul, tonggak JDT itu (Akhyar) berada dalam radar pasukan TFC sebagai pemain pinjaman dalam mengharungi saingan Liga M musim 2024.

"Setakat ini rundingan dengan pihak pengurusan JDT berjalan dengan lancar, terima kasih kami ucapkan, cuma ada beberapa perkara lagi yang perlu diselesaikan di pihak kami.

"Jika semuanya selesai, kami akan membuat pengumuman secara rasmi tidak lama lagi berhubung kehadiran pemain sayap JDT dan kebangsaan itu, pada masa sama peminat setia TFC diminta bersabar dan tidak membuat sebarang spekulasi," jelas sumber itu ketika dihubungi.

Terdahulu peminat setia skuad Penyu itu mengharapkan pemain kelahiran Alor Setar berusia 24 tahun itu menyarung jersi TFC musim depan selepas dilepaskan secara pinjaman oleh pihak pengurusan JDT bersama Oscar Arribas, Syafiq Ahmad, Safawi Rasid dan Haziq Nadzli.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Disember 2023 @ 3:13 PM