Luka Modric tonggak utama skuad Croatia. FOTO AFP
Luka Modric tonggak utama skuad Croatia. FOTO AFP
Reuters

Doha: Kejutan dan aksi sensasi ditampilkan Jepun di Piala Dunia membantu penyingkiran Jerman selain mengatasi Sepanyol tetapi dalam kelompok 16 terbaik pada Isnin nanti mereka kembali berdepan cabaran sukar menentang Croatia yang terkenal dengan aksi tersusun.

Croatia tidak menunjukkan kualiti yang membawa mereka ke final empat tahun lalu, terutama di hadapan gol tetapi melakukan apa yang diperlukan untuk meneruskan kemaraan dalam kumpulan.

Mereka hanya cemas pada perlawanan terakhir mereka menentang pasukan yang terdesak, Belgium.

Kapten Luca Modric membentuk gandingan mantap bersama Ivan Perisic dan Dejan Lovren. Trio veteran berkenaan dijangka melakukan kerja rumah mereka mengenai skuad Samurai Biru.

Pengendali Jepun, Hajime Moriyasu mungkin memerlukan taktikal baru bagi pertembungan di Stadium AL Janoub dengan melakukan pendekatan hampir sama seperti pada tiga perlawanan awal mereka.

Moriyasu harus melakukan sekurang-kurangnya satu pertukaran di barisan pertahanannya selepas Ko Itakura mempunyai dua kad kuning berdepan Sepanyol dan masih sukar melengkapkan pemain gantian selepas kecederaan dialami Hiroki Sakai dan Takehiro Tomiyasu.

Croatia mencatat dua keputusan seri 0-0 dan mengatasi Kanada 4-1 pada saingan peringkat kumpulan. Mereka tidak pernah tewas dalam kelompok 16 terbaik dalam lima penampilan di pusingan akhir Piala Dunia.

Mereka mara ke separuh akhir pada 1998 dan tewas kepada Perancis pada final empat tahun lalu di Rusia, rekod baik bagi sesebuah negara yang kembali ke arena bola sepak antarabangsa pada awal 1990.

Jepun sebaliknya bermain dalam tiga aksi kelompok 16 terbaik pada enam kejohanan terdahulu tetapi tewas kesemua perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Disember 2022 @ 7:46 PM