ASANO (tengah) pada sesi latihan Jepun. FOTO Reuters
ASANO (tengah) pada sesi latihan Jepun. FOTO Reuters
AFP

Doha: Jepun tidak akan gentar bertemu Jerman pada aksi pembukaan Piala Dunia esok meskipun pasukan Asia mengharungi kempen sukar setakat ini, kata penyerang Takuma Asano.

Tuan rumah Qatar tewas 0-2 kepada Ecuador pada perlawanan pembukaan Ahad lalu manakala Iran dibelasah England 6-2, semalam.

Asano yakin Jepun tidak akan mengalami nasib yang sama apabila mereka menentang Jerman dalam Kumpulan E sambil menegaskan tiada apa yang perlu ditakuti oleh Samurai Biru.

"Pastinya terdapat perbezaan tahap pasukan Asia berbanding Eropah serta Amerika Selatan, dan kami masih belum berada di tahap itu lagi.

"Tetapi anda tidak boleh menjangkakan apa yang akan berlaku pada kejohanan seperti ini.

"Anda memerlukan banyak kualiti seperti teknik dan taktik tetapi pemain senior sering beritahu saya bahawa perkara yang paling penting adalah keinginan tinggi pasukan untuk menang," kata kata penyerang Bochum itu.

Jepun mempunyai lapan pemain beraksi di kelab Bundesliga dalam skuad kali ini dan mereka sudah menegaskan tidak akan mempunyai perasaan berbelah bahagi apabila menentang Jerman di Doha.

Pemain pertahanan, Takehiro Tomiyasu, yang bermain di Liga Perdana bersama Arsenal berkata, Jepun perlu bersikap pragmatik tetapi mengakui keutamaan mereka adalah untuk tidak melepaskan gol.

"Saya rasa kita tidak perlu menghormati mereka. Sudah tentu kita perlu realistik pada masa-masa tertentu," kata Tomiyasu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 November 2022 @ 9:16 AM