MORIYASU bercakap pada sidang media, hari ini. FOTO Reuters
MORIYASU bercakap pada sidang media, hari ini. FOTO Reuters
Reuters

Doha: Hajime Moriyasu menyatakan secara terbuka impiannya untuk membawa Jepun mara ke suku akhir Piala Dunia dan selepas mengejutkan juara empat kali, Jerman, 2-1, semalam, sasaran itu semakin hampir menjadi kenyataan.

Jepun tidak pernah layak ke suku akhir dalam empat penampilan ke Piala Dunia bermula 1998, tetapi hampir melakukannya di Rusia, empat tahun lalu.

Gol menerusi Genki Haraguchi dan Takashi Inui memastikan Samurai Biru mendahului dua gol menentang Belgium di pusigan 16 terbaik di Rostov-on-Don, meletakkan Jepun semakin hampir merangkul kemenangan bersejarah.

Tetapi, kegagalan mereka mematikan perlawanan membawa padah apabila Belgium bangkit menerusi dua gol dalam masa lima minit sebelum Nacer Chadli menjaringkan gol kemenangan dalam masa kecederaan, yang menjadi aksi paling mendebarkan pada edisi 2018.

Ia tamparan hebat yang menafikan pencapaian terbaik Jepun di peringkat dunia dan kekalahan itu masih menghantui Moriyasu dan pasukannya dalam persediaan ke Qatar.

"Bukan hanya saya, tetapi pemain turut membawa kesakitan dari Rusia, empat tahun lalu," katanya kepada laman web rasmi Konfederasi Bolasepak Asia.

"Jika pemain dapat beraksi pada potensi semua dan menumpukan sepenuhnya di padang, keputusan baik akan terhasil. Bagi memastikan ia berlaku, saya perlu menguruskan dan menjaga pasukan sebaik mungkin."

Moriyasu membuktikan kemahiran taktikalnya ketika menewaskan Jerman apabila membawa masuk pemain pertahanan Arsenal, Takehiro Tomiyasu ketika rehat, untuk menukar formasi kepada tiga pemain pertahanan selepas mereka sering diancam pada babak pertama.

Perubahan itu memberi kesan dan tindakan Moriyasu menggunakan lima pemain simpanan berbaloi apabila Ritsu Doan dan Takuma Asano dimasukkan dan menjaringkan dua gol penting itu.

Jepun akan menentang Costa Rica, Ahad ini sambil menyedari mereka semakin hampir ke pusingan kalah mati, tetapi Moriyasu tidak akan membiarkan pemainnya ambil mudah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 November 2022 @ 9:37 PM