TOMIYASU alami kecederaan hamstring.
TOMIYASU alami kecederaan hamstring.
Agensi

London: Pertahanan Arsenal, Takehiro Tomiyasu mencetuskan keresahan Jepun apabila dilaporkan tidak pasti dapat beraksi menentang Costa Rica dalam saingan Piala Dunia Kumpulan E esok.

Pemain berusia 24 tahun itu kembali selepas pulih daripada kecederaan pada Rabu lalu dan membantu pasukannya menewaskan juara dunia 2014, Jerman dalam aksi pembukaan.

Tomiyasu terlepas dua perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris bersama Arsenal musim ini selepas mengalami kecederaan ketika menewaskan FC Zurich dalam aksi Liga Europa.

Namun kehadirannya di Doha pada Rabu lalu membantu pasukannya mencipta antara kejutan terbesar dengan menewaskan Jerman.

Dia masuk menggantikan penyerang Real Sociedad, Takefusa Kubo selepas rehat ketika Jepun ketinggalam 0-1 di Stadium Khalifa International dan beraksi cemerlang membantu skuad Hajime Moriyasu bangkit dengan dua gol untuk menewaskan salah satu pasukan pilihan kejohanan.

Jepun berdepan Costa Rica dan Sepanyol pada baki perlawanan dan kemenangan esok mencerahkan peluang mereka ke peringkat 16 terakhir.

Namun menurut Yomiuri Online, Tomiyasu dan rakan pertahanan kanan, Sakai belum pasti dapat beraksi di Stadium Ahmed bin Ali.

Terdapat kebimbangan mengenai tahap kecergasan kedua-dua pemain selepas menang ke atas Jerman apabila Kyodo News mendedahkan pegawai media Jepun mengesahkan Sakai mengalami kecederaan hamstring malam sebelum perlawanan manakala Tomiyasu berdepan masalah sama di kaki kanannya.

Jika kedua-duanya tidak beraksi esok, pemain Kawasaki Frontale, Miki Yamane dijangka diturunkan di bahagian pertahanan kanan. Dia yang berusia 28 tahun bermain ketika aksi persahabatan menentang Ecuador dan Kanada tetapi hanya memanaskan bangku simpanan Rabu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 November 2022 @ 11:49 AM