JULIAN Alvarez mencetak dua gol buat City. FOTO Agensi
JULIAN Alvarez mencetak dua gol buat City. FOTO Agensi
AFP

Manchester: Juara bertahan, Manchester City terus menghimpit Liverpool di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas menundukkan Burnley 3-1 di Stadium Etihad, awal pagi tadi.

Penyerang Argentina, Julian Alvarez meledak dua gol buat City untuk dia kini mengumpulkan 15 gol dalam semua pertandingan sepanjang musim ini.

Manakala satu lagi jaringan diraih menerusi Rodri sebaik babak kedua bermula, sebelum pelawat membawa pulang gol saguhati pada masa kecederaan hasil sentuhan Ameen Al Dakhil.

Menurut pengendali City, Pep Guardiola, beliau gembira dengan prestasi pemain dan kehadiran semula beberapa bintang yang tercedera sebelum ini bakal kembali menguatkan pasukan.

Ia termasuk kembalinya Erling Haaland sebagai pemain gantian dalam aksi itu di mana penyerang kelahiran Norway itu dimasukkan pada 20 minit terakhir permainan.

"Ia tempoh yang lama, lima bulan, Kevin De Bruyne tidak bermain. Dia kembali dengan bertenaga. Dia beraksi sangat baik. Dia dan Erling akan membantu kami di babak kedua musim ini," katanya.

Kemenangan kelapan berturut-turut City itu membolehkan mereka terus mengekori rapat pendahulu liga, Liverpool yang mempunyai kelebihan lima mata tetapi bermain lebih satu perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Februari 2024 @ 9:23 AM