ALVAREZ ketika menjaringkan gol pertama City. FOTO REUTERS
ALVAREZ ketika menjaringkan gol pertama City. FOTO REUTERS
AFP

Manchester: Dua gol Julian Alvarez menyelamatkan Manchester City ketika penyandang Liga Juara-Juara itu memulakan kempen dengan kemenangan 3-1 ke atas Red Star Belgrade yang di depan terlebih dahulu di Etihad, awal pagi tadi.

Osman Bukari membuka jaringan untuk pelawat pada masa kecederaan separuh masa pertama sekali gus mengejutkan skuad bimbingan Pep Guardiola.

Bagaimanapun, Alvarez meneruskan prestasi cemerlangnya pada awal musim dengan menyamakan kedudukan hanya dua minit selepas bermula babak kedua.

Pemain Argentina itu kemudian mendapat bantuan daripada penjaga gol Red Star, Omri Glazer ketika dia gagal membaca sepakan percuma Alvarez yang membolehkan bola menerjah ke penjuru gol.

Rodri melengkapkan jaringan dengan penyudah cantik 17 minit sebelum tamat perlawanan.

"Jika kami menjaringkan dua gol awal pada permulaan ia pasti jelas berbeza," kata Guardiola, yang kecewa dengan tindakan penyudah pasukannya selepas mempunyai 22 percubaan pada babak pertama sahaja.

"Mempunyai 22 percubaan tepat bermakna anda bermain dengan amat bagus. Ia menjadi tanggungjawab penyerang untuk menjaringkan gol itu," katanya lagi.

Red Star dijangka menjadi pasukan belasahan selepas City yang meraih kejayaan treble musim lalu bermula cemerlang musim ini apabila memenangi kelima-lima perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Namun Erling Haaland kini gagal menjaringkan gol dalam empat perlawanan Liga Juara-Juara berturut-turut dan kecewa dengan dirinya sendiri selepas menanduk melepasi palang gol dari jarak dekat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 September 2023 @ 7:20 AM