HAMIDIN akui sedikit kecewa apabila perjalanan pasukan terkandas di peringkat kumpulan. FOTO Bernama
HAMIDIN akui sedikit kecewa apabila perjalanan pasukan terkandas di peringkat kumpulan. FOTO Bernama
Firdaus Hashim


Doha: Satu laporan penuh mengenai prestasi skuad Harimau Malaya di Piala Asia 2023 di Qatar akan disediakan bagi dinilai oleh Jawatankuasa Pengurusan Skuad Kebangsaan sebaik skuad Harimau Malaya pulang ke tanah air.

Perkara itu dinyatakan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin dan ia sudah diketahui oleh pengendali negara, Kim Pan-gon.

Katanya, satu 'bedah siasat' akan dikaji bagi melihat dan mencari jalan memperbaiki kegagalan pasukan negara melepasi peringkat kumpulan dalam Piala Asia di Qatar ketika ini.

"Jurulatih akan membuat laporan kepada jawatankuasa untuk dilihat Exco FAM dan akan memberi input yang perlu penambahbaikan.

"Dalam kertas (laporan) beliau akan terangkan dan mungkin akan ada cadangan bagi memperkemaskan lagi pasukan kita," katanya kepada media.

Sepanjang kempen Malaysia di Piala Asia 2023 ini, pasukan negara gagal memenuhi sasaran mara ke pusingan 16 terbaik selepas menghuni tangga keempat Kumpulan E.

Tewas di tangan Jordan (0-4) dan Bahrain (0-1) sebelum bangkit mengikat Korea Selatan (3-3) menyaksikan pasukan negara mengumpul satu mata daripada tiga aksi dilalui.

Jelas Hamidin, beliau akui sedikit kecewa apabila perjalanan pasukan terkandas di peringkat kumpulan namun menyifatkan ia bukan suatu kegagalan kerana selepas 43 tahun tidak layak ke Piala Asia terdapat sedikit jurang dengan pasukan lain yang sering menempah slot ke pentas tertinggi itu.

Lantas, beliau mahu skuad kebangsaan daripada semua peringkat sama ada senior mahupun junior konsisten melayakkan diri ke Piala Asia dalam setiap edisi.

"Kita nak pasukan kita berjaya termasuk pasukan bawah 23 (B-23), B-17 dan lain-lain. Saya selalu menyatakan kepada semua yang kita nak selalu layak ke Piala Asia dan kalau boleh pergi ke atas lagi.

"Jadi kita perlu perbaiki apa yang kurang sama ada di dalam padang atau di luar padang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 January 2024 @ 4:38 PM