PRESIDEN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin
PRESIDEN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin, cukup serius memastikan skuad Harimau Malaya bersedia menjelang kempen Piala Asia di Qatar yang berbaki sebulan lagi.

Jelas Hamidin, beliau mengesahkan Syria adalah lawan yang bakal ditemui pada aksi pemanas badan sebelum turun beraksi di medan sebenar di Qatar nanti.

Bagaimanapun katanya, pihaknya sedang berusaha untuk mencari satu atau dua lagi aksi persahabatan dengan antara negara yang berpotensi adalah pasukan di ranking 58 dunia yang juga pasukan tuan rumah Piala Asia, Qatar.

Katanya, walaupun peluang itu tipis kerana kebanyakan negara sudah mempunyai lawan masing-masing, Hamidin akan berusaha sehingga minggu depan untuk memastikan persiapan anak buah Kim Pan-gon (KPG) berada di tahap optimum.

"Kalau nak ikutkan kita dengan (lawan) Syria dah 'confirm'. Arab Saudi sebelum ini memang kita dah hantar surat dan 'confirm', tapi dia punya jurulatih tak mahu disebabkan kemungkinan boleh bertemu di pusingan 16 nanti.

"Kita tengah cari sekarang dan hampir kesemua pasukan dah sedia dan ada lawan mereka, takkan kita nak lawan pasukan lebih bawah.

"Kita sedang cuba satu atau dua lagi kalau dapat, kita tengok potensi macam Qatar dan satu lagi pasukan, tapi mungkin susah sikit. tapi kita sedang usaha dalam minggu ini atau hingga minggu depan," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman mengesahkan aksi bertemu Arab Saudi terpaksa dibatalkan.

Perlawanan pemanas badan itu yang sepatutnya berlangsung pada 4 Januari nanti dibatalkan atas permintaan pengendali baharu Arab Saudi, Roberto Mancini.

Tindakan bekas jurulatih Itali itu kerana beliau membuat congakan pasukan kendaliannya itu berkemungkinan bertemu Malaysia seawal Pusingan 16 Terbaik sekali gus enggan meneruskan aksi itu.

"Syria itu bukan perlawanan dalam kalendar Fifa, tapi saya dah bincang dengan KPG dua hari lepas, dia cakap satu pasukan pun dah cukup tapi kalau dapat pun 'OK'.

"Tapi kita cuba nak cari satu lagi kalau dapat," kata Hamidin di mana kalendar aksi antarabangsa adalah sehingga 6 Januari sahaja, iaitu aksi menentang Syria dijadual pada 8 Januari nanti.

Pada aksi Piala Asia kelak, Malaysia diletakkan dalam Kumpulan E bersama gergasi Asia Korea Selatan, Jordan dan Bahrain dengan aksi pertama adalah turun berdepan Jordan pada 15 Januari ini di Stadium Al Janoub.

Selepas itu, skuad Harimau Malaya akan meneruskan kempen bertemu Bahrain pada 20 Januari di Stadium Jassim Bin Hamad sebelum menutup saingan peringkat kumpulan dengan Korea Selatan lima hari kemudian di Stadium Al Janoub.

Dua pasukan terbaik dari enam kumpulan dan empat pasukan terbaik di tangga ketiga akan layak ke pusingan 16 terbaik kelak.

Malaysia layak ke Piala Asia secara merit selepas kali terakhir bersaing pada 1980 lalu di Kuwait dan ia dianggap pencapaian paling bermakna dalam tempoh 43 tahun itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Disember 2023 @ 3:17 PM