LLORENTE (tengah) menanduk masuk gol keempat Spurs. - FOTO AFP
LLORENTE (tengah) menanduk masuk gol keempat Spurs. - FOTO AFP
AFP

HATRIK Fernando Llorente menjulang Tottenham Hotspur ketika membelasah Rochdale 6-1 dalam aksi ulangan pusingan kelima Piala FA yang menyaksikan banyak keputusan dilakukan oleh Video Bantuan Pengadil (VAR) meragukan sekali gus rujukan kepada sistem berkenaan sekali lagi menjadi tumpuan untuk diperkatakan.

Tiga jaringan Llorente dalam masa kedua, disusuli dua daripada Son Heung-min dan satu jaringan lewat daripada Kyle Walker-Peters di Stadium Wembley menamatkan semua ketegangan yang sebelum menjadi ancaman di stadium yang dipenuhi salji itu.

Sistem VAR membatalkan jaringan awal Tottenham sebelum pengadil Paul Tierney menghadiahkan penalti yang dipertikaikan dan disempurnakan oleh Son.

Begitupun pemain Rochdale, Stephen Humphrys berjaya menyamakan kedudukan sebelum rehat sekali gus penggunaan VAR yang dalam percubaan di Piala FA ini terus diperkatakan.

Bersambung babak kedua, Spurs tidak membazir masa apabila meledak lima gol untuk memastikan mara ke suku akhir Piala FA bertemu Swansea City di tempat lawan.

Perdebatan mengenai keberkesanan VAR berlegar sekitar tempoh masa yang diperlukannya untuk membuat sesuatu keputusan dan sepanjang tempoh berkenaan penyokong tertanya-tanya mengenai apa yang sedang berlaku di padang. Kedua-dua isu itu berlaku di Wembley selama enam minit.

Bagi jaringan awal yang terbatal itu, Spurs menyangka ia dikira selepas Erik Lamela menguis bola memasuki gol, namun tayangan menerusi VAR yang mengambil masa agak lama kemudian mendapati berlaku kesalahan Llorente yang menarik baju pemain lawan.

Son begitupun membuka jaringan dengan sepakan lencong dari jarak 12 meter selepas 23 minit babak pertama sebelum VAR sekali lagi digunakan apabila pengadil mendakwa Kieran Trippier dijatuhkan oleh Matt Done di luar petak penalti.

Sistem VAR bagaimanapun mengesahkan kesalahan itu berlaku di dalam kotak penalti sekali gus menghadiahkan sepakan penalti yang kemudian disempurnakan Son. Pengadil kemudian melayangkan kad kuning.

Pada babak kedua, saingan mula berjalan lancar dengan Llorente sekali lagi membantu Spurs mendahului selepas menguis umpanan daripada Lucas Moura untuk kedudukan 3-1 dan kemudian melengkapkan hatriknya menerusi tandukan.

Pada minit ke-65, Son mudah menolak masuk bola di depan gol yang terbuka sebelum pemain berusia 20 tahun Walker-Peters menjaringkan gol pertamanya bersama Spurs pada minit terakhir perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Mac 2018 @ 7:55 AM