SON Heung-min meraikan gol kemenangannya ke atas Australia sekaligus mara ke separuh akhir Piala Asia. FOTO Reuters
SON Heung-min meraikan gol kemenangannya ke atas Australia sekaligus mara ke separuh akhir Piala Asia. FOTO Reuters
BERNAMA

Al-Wakrah, Qatar: Bintang Tottenham Hotspur, Son Heung-min, menghadiahkan gol kemenangan dalam masa tambahan bagi memastikan Korea Selatan melangkah ke separuh akhir Piala Asia 2023 selepas mengecewakan Australia 2-1 pada aksi suku akhir di sini, malam tadi.

Korea Selatan, dalam misi menamatkan penantian 64 tahun untuk bergelar juara kali ketiga selepas edisi 1956 dan 1960, bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat 1-1 dan memaksa perlawanan diheret hingga ke masa tambahan.

Heung-min menemukan sentuhan pemusnah pada minit ke-104.

Namun kemenangan di Stadium Al Janoub itu cukup manis buat Korea Selatan yang menyaksikan Taegeuk Warriors berjaya membalas kekecewaan tewas 2-1 di tangan Australia pada final edisi 2015 yang menjadi pertemuan terakhir kedua-dua pasukan di pentas Piala Asia.

Heung-min meledak gol kemenangan menerusi sepakan percuma di penghujung babak pertama masa tambahan selepas menghadiahkan penalti untuk Korea Selatan di akhir masa permainan sebenar.

Australia bimbingan Graham Arnold membuka tirai jaringan menerusi Craig Goodwin di hujung babak pertama sebelum anak buah Jurgen Klinsmann menyamakan kedudukan menerusi penalti penyerang Wolverhampton Wanderers, Hwang Hee-chan pada minit ke-96.

Korea Selatan akan membuat perhitungan menentang Jordan pada aksi separuh akhir yang dijadual berlangsung di Stadium Ahmad Bin Ali di Al Rayyan, Selasa depan.

Korea Selatan turun pada perlawanan malam tadi sebagai pasukan pilihan, namun Socceroos terlebih dahulu tampil dengan percubaan berbahaya memasuki minit ke-20 menerusi rembatan Goodwin dari jarak dekat.

Hwang kempunan memecah kebuntuan gol apabila jaringannya selepas menerima hantaran Seol Young-woo pada minit ke-31 dibatalkan kerana Young-woo terlebih dahulu ofsaid ketika menerima hantaran jauh di dalam kotak penalti.

Australia melenyapkan sorakan penyokong Korea Selatan seketika apabila Goodwin menyumbat gol pembukaan perlawanan pada minit ke-42 dengan melepaskan rembatan voli dari jarak dekat selepas menerima hantaran lambung dari sebelah kanan daripada Nathaniel Atkinson.

Di penghujung permainan, pengadil memberikan penalti kepada Korea Selatan selepas Heung-min dijatuhkan pemain gantian Lewis Miller, sebelum kekecewaan Hwang terbalas apabila beliau tenang menyempurnakan sepakan pada minit keenam tambahan masa untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Pada masa tambahan 30 minit, Heung-min menjaringkan gol kemenangan pasukan menerusi sepakan percuma yang gagal diselamatkan Mathew Ryan pada minit ke-104, sekali gus meledak gol ketiganya pada kempen kali ini.

Australia kemudian terpaksa mengharungi baki 15 minit permainan dengan 10 pemain selepas pemain gantian Aiden O'Neill dilayangkan kad merah susulan terjahan keras ke atas Hee-chan.

Malam ini, dua lagi aksi suku akhir akan berlangsung membabitkan juara bertahan, Qatar berdepan Uzbekistan manakala pasukan pilihan, Jepun menentang Iran.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Februari 2024 @ 8:38 AM