KL Rovers hanya layak beraksi di Liga M3 sahaja.
KL Rovers hanya layak beraksi di Liga M3 sahaja.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Hasrat Kuala Lumpur Rovers (KL Rovers) untuk 'melebar sayap' ke saingan Liga Singapura berkubur selepas kelab terbabit tiada dalam senarai yang diumumkan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) semalam.

Situasi terbabit sekali gus menyaksikan pasukan berkenaan terpaksa berpuas hati beraksi di Liga M3 saja selepas permohonan mereka untuk memperoleh lesen kebangsaan bagi membolehkan beraksi di Liga Super turut ditolak.

Menurut kenyataan FAS memaklumkan pihaknya sudah memuktamadkan proses penilaian bagi kelab yang berpotensi untuk bermain di Singapore Premier League (SPL) musim 2024-2025.

"FAS sudah menerima beberapa permohonan dengan satu kelab telah diberi kelulusan untuk menyertai SPL 2024/2025. Kelab yang disenarai pendek sudah menjalani proses semakan di mana proses tersebut mengambil masa lebih lama daripada jangkaan.

"Memandangkan tarikh tutup yang terlalu hampir dengan permulaan SPL pada Mei 2024, kelab tersebut memutuskan untuk tidak bertanding dalam musim 2024/2025. Sebaliknya, kelab itu akan fokus menyediakan pasukan untuk musim 2025/26," kata FAS dalam kenyataan media. Selain itu, FAS juga lebih menumpukan kepada mahu memperkukuhkan liga domestik mereka dengan menambahbaik SPL supaya lebih sistematik dan kompetitif. "FAS akan kekal komited untuk menambahbaik SPL dan akan terus meneroka peluang memperkukuh pertandingan divisyen utama bola sepak domestik Singapura," katanya. Mengikut rekod, pasukan KL Rovers FC yang berpengkalan di ibu kota bergelar naib naib juara dua kali berturut-turut dalam saingan Liga M3. Sebelum ini, pasukan terbabit mengemukakan permohonan Lesen Kebangsaan untuk mengisi slot pasukan ke-14 Liga Super musim 2024-2025. Namun, hasrat terbabit terpaksa dilupakan selepas ditolak First Instance Body (FIB) kerana gagal memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh badan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 April 2024 @ 2:18 PM