SELANGOR FC akan tetap ke pentas Asia. -FOTO NSTP
SELANGOR FC akan tetap ke pentas Asia. -FOTO NSTP
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Penyokong bola sepak tempatan khususnya penyokong Selangor FC tidak perlu 'bercakaran' di laman sosial apabila difahamkan dua slot ke pentas Asia tidak berubah seperti mana yang diputuskan pada Jun lalu.

Menerusi maklumat diperolehi oleh Arena Metro, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) tidak akan mengubah ketetapan berkenaan format pemilihan dua pasukan yang akan bertanding dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) dan Liga Juara-Juara Asia II (ACL II) musim depan.

Malah pengumuman rasmi berkenaan dua kelab tempatan yang akan mewakili Malaysia di ACLE dan ACL II akan diumumkan sebaik saingan Liga Malaysia berakhir selepas tamatnya final Piala Malaysia musim ini.

Difahamkan, kaedah pemilihan dua wakil negara itu kekal seperti mana yang diputuskan dalam mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah (BOD) MFL pada Jun lalu mengenai format pertandingan kelab Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bagi musim 2024/2025.

Berdasarkan semakan akhbar ini mengenai keputusan Jun lalu itu, MFL mengumumkan juara Liga Super 2023 akan layak beraksi di pertandingan kelab AFC Tier 1 (ACLE), manakala juara Piala FA akan mendapat slot ke pertandingan kelab AFC Tier 2 (ACL II).

Namun sekiranya juara Liga Super dan juara Piala FA bagi musim 2023 adalah kelab sama, maka juara Liga Super akan beraksi dalam pertandingan kelab AFC Tier 1 dan naib juara Liga Super pula akan layak bertanding dalam saingan kelab AFC Tier 2.

Jika kelab yang layak ke pertandingan itu gagal menepati syarat Perlesenan Kelab AFC, maka penggantian kelab yang akan layak ke pertandingan itu adalah tertakluk kepada keputusan dan kelulusan MFL.

Berdasarkan kepada situasi semasa, Johor Darul Ta'zim (JDT) yang sudah mengesahkan kejuaraan Liga Super dan Piala FA musim ini tampaknya secara automatik akan bertanding di ACLE musim depan.

Manakala Selangor FC yang menamatkan kedudukan selaku pasukan kedua liga atau lebih tepat naib juara Liga Super musim ini sudah pastinya meraih tiket ke ACL II pada kempen musim depan.

Lantas tidak timbul isu 'keabsahan' skuad Red Giants untuk bertanding di Asia pada musim depan, di mana anak buah Tan Cheng Hoe dilihat sudah memenuhi kriteria ditetapkan oleh MFL sebelum ini.

Malah tidak timbul juga dakwaan netizen berkenaan status pelesenan Selangor FC kerana pada November lalu, First Instance Body (FIB) mengesahkan skuad Merah Kuning meraih Lesen Kebangsaan serta melepasi syarat AFC.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2023 @ 12:11 PM