FAISAL (dua dari kiri) gigih menjalani latihan bersama rakan sepasukan menjelang pertemuan menentang Bahrain. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
FAISAL (dua dari kiri) gigih menjalani latihan bersama rakan sepasukan menjelang pertemuan menentang Bahrain. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Firdaus Hashim melaporkan dari Doha dan Qatar


Doha: Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan!

Itu perumpamaan bagi menggambarkan situasi terkini skuad Harimau Malaya yang bermotivasi untuk memburu kemenangan ke atas Bahrain pada aksi kedua Piala Asia, Sabtu ini.

Menurut pemain sayap lincah negara, Faisal Halim, tiada perkara mustahil dalam bola sepak dan kejutan boleh saja berlaku dalam mana-mana perlawanan.

Namun, katanya, bagi mencapai kejayaan itu setiap individu perlu berusaha sedaya upaya, sekali gus cuba membanggakan penyokong menerusi keputusan positif.

"Kami masih ada lagi dua perlawanan dan peluang untuk kita orang cakap sukar.

"Tapi dalam bola sepak kena usaha dulu dan buat terbaik, sekurang-kurangnya kami membanggakan rakyat Malaysia," katanya yang sudah meledak 14 gol buat skuad negara di pentas antarabangsa.

Aksi berdepan Bahrain pada perlawanan kedua Kumpulan E kempen Piala Asia di Stadium Jassim Bin Hamad penting bagi menghidupkan peluang negara selepas tumbang 0-4 kepada Jordan pada aksi pertama, awal pagi Selasa lalu.

Bagaimanapun, misi memburu tiga mata penuh ke atas pasukan di ranking 86 dunia itu bukan mudah apatah lagi rekod pertemuan nyata memihak lawan.

Malaysia yang berada di kedudukan 130 dunia tidak pernah menang ke atas Bahrain sejak 10 pertemuan lalu dengan kali terakhir mengecapi nikmat kemenangan adalah pada 1978.

Selepas itu, skuad Harimau Malaya sekadar mampu seri tiga kali dan tunduk tujuh kali dengan pertembungan terakhir pada 2022 apabila skuad kendalian Kim Pan-gon tumbang 1-2 di Stadium Nasional Bukit Jalil dalam Kelayakan Piala Asia 2023.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 January 2024 @ 2:25 PM