PAN-gon bersama pemain negara, Shahrul Saad ketika sidang media menjelang perlawanan dengan Bahrain di Doha hari ini. FOTO Hairul Anuar Rahim
PAN-gon bersama pemain negara, Shahrul Saad ketika sidang media menjelang perlawanan dengan Bahrain di Doha hari ini. FOTO Hairul Anuar Rahim
Firdaus Hashim melaporkan dari Doha dan Qatar


MISI 'do or die' kini sudah menyerap di dada setiap pemain skuad Harimau Malaya menjelang aksi hidup mati menentang Bahrain dalam aksi kedua Kumpulan E Piala Asia di Stadium Jassim Bin Hamad, di sini, esok.

Pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon mengakui pungutan tiga mata adalah tumpuan dan fokus utama pasukan.

Katanya, perlawanan esok sememangnya amat kritikal buat Malaysia yang memerlukan kemenangan bagi menghidupkan peluang dan mengintai slot ke pusingan berikutnya.

"Kami lihat semua perkara untuk menang perlawanan ini dan kami tidak mahu seri atau kalah terutama untuk aksi esok yang amat kritikal.

"Ia (kemenangan) penting untuk kami dan kami perlu menang dengan Bahrain. Begitu juga pertemuan dengan Korea Selatan dan perlu meraih sesuatu biarpun kami tahu kualiti pasukan negara agak jauh daripada Korea," katanya pada sidang media praperlawanan di sini, hari ini.

Misi menundukkan Bahrain yang berada di ranking 86 dunia itu dijangka lebih sukar berbanding ketika tunduk 0-4 di tangan Jordan pada aksi pertama Selasa lalu.

Malah ukuran itu turut didorong dengan pertemuan yang menyaksikan Malaysia tidak pernah menang ke atas Bahrain dengan kali terakhir menumbangkan skuad The Reds itu pada 1978.

Selepas itu, kedua-dua pasukan sudah bertemu 10 kali dengan skuad Harimau Malaya gagal melakar kemenangan apabila sekadar mampu seri tiga kali dan tunduk tujuh kali.

Pertembungan terakhir adalah pada Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 11 Jun 2022 lalu, di mana Malaysia tumbang 1-2 sebelum bangkit menewaskan Bangladesh untuk menamatkan badi 43 tahun layak secara merit ke Piala Asia.

"Selepas perlawanan pertama kami sudah membuat analisis bersama pemain dan betulkan kesilapan. Kami buat persediaan sebaiknya untuk perlawanan ini dan kami sudah bersedia mahu berikan sepenuh komitmen," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 January 2024 @ 5:50 PM