KIM Pan- gon. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
KIM Pan- gon. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Demi negara dan atas semangat untuk mengharumkan nama Malaysia, skuad Harimau Malaya akan berjuang sehabis mungkin apabila berdepan tiga jaguh Asia pada kempen Piala Asia di Doha, Qatar pada Januari tahun depan.

Semboyan semangat juang itu ditiupkan pengendali skuad bola sepak negara, Kim Pan-gon selepas melihat anak buahnya diletakkan dalam Kumpulan E bersama pasukan yang menduduki ranking ke-27 dunia, Korea Selatan.

Malah, kedudukan dua lagi pesaing iaitu Jordan di kedudukan 84 serta Bahrain di tangga 85 dunia bakal memberi cabaran sukar buat skuad negara yang menghuni kedudukan cukup jauh dalam ranking Fifa apabila berada di posisi 138 ketika ini.

Malah berdasarkan rekod lampau ke atas tiga pencabar itu, Malaysia sebenarnya tidak pernah menang apabila bertemu Bahrain, Jordan mahupun Korea Selatan sejak 10 tahun lalu.

Keputusan paling positif yang pernah dicatatkan adalah pada Kelayakan Piala Asia 2013 lalu, apabila skuad negara berjaya mengikat Bahrain 1-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), selain turut pernah mengikat Jordan tanpa jaringan dalam aksi persahabatan pada 2009 lalu.

Selebihnya skuad kebangsaan tidak pernah menang ke atas Jordan dalam dua pertemuan terakhir apabila tumbang 0-1 dan 0-4 pada dua aksi persahabatan yang diadakan pada 2019 dan 2021 lalu.

Begitu juga dengan Bahrain, di mana Malaysia gagal mencatat kemenangan dalam tiga perlawanan sejak 2013, dengan kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu ketika aksi Kelayakan Piala Asia Jun tahun lalu yang menyaksikan Bahrain menang 2-1 di SNBJ.

Rekod dengan Korea Selatan pula mencoretkan kisah yang cukup panjang buat kedua-dua pasukan di mana skuad Harimau Malaya sudah bertemu dengan gergasi bola sepak Asia itu sebanyak 89 kali sejak kali pertama pada 1953.

Menerusi pertembungan itu, Malaysia hanya mampu menang 20 kali ke atas skuad Taegeuk Warriors itu dengan selebihnya memihak lawan yang melakar 48 kemenangan dan 21 seri.

Kali terakhir skuad negara menang ke atas Korea Selatan adalah pada 17 Julai 1995 dalam Pestabola Merdeka apabila Malaysia mencatat kemenangan tipis 2-1 pada ketika itu.

Jelas Pan-gon yang berasal dari Korea Selatan, beliau amat menyedari kesukaran yang bakal dilalui skuad kendaliannya selepas diletakkan dalam kumpulan itu.

Bagaimanapun beliau menegaskan skuad kendaliannya akan turun melawan dan memburu keputusan positif demi membanggakan penyokong tanahair.

"Ia kumpulan yang sukar dengan pasukan terbaik di rantau ini terutamanya pasukan Korea Selatan yang merupakan antara pasukan terbaik.

"Tapi akan akan buat yang terbaik untuk beri cabaran kepada mereka dan mahu membanggakan peminat bola sepak tanah air," katanya yang akan membuka aksi menentang Jordan pada 15 Januari, sebelum bertemu Bahrain lima hari kemudian dan Korea Selatan pada 25 Januari.

Untuk rekod, ini adalah penampilan keempat Malaysia di pentas Piala Asia dengan kali terakhir skuad negara layak secara merit pada edisi 1980.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mei 2023 @ 12:20 PM