PEMAIN Harimau Malaya, Stuart Wilkin (kanan) diasak pemain Jordan, Nizar Al Rashdan di Stadium Al Janoub, Doha.  FOTO Hairul Anuar Rahim
PEMAIN Harimau Malaya, Stuart Wilkin (kanan) diasak pemain Jordan, Nizar Al Rashdan di Stadium Al Janoub, Doha. FOTO Hairul Anuar Rahim
Firdaus Hashim melaporkan dari Doha dan Qatar


BAGI memastikan motivasi pasukan kembali melonjak menjelang aksi kedua Piala Asia menentang Bahrain Sabtu ini, 'orang' nombor satu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sendiri menyuntik semangat pemain.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, beliau meluangkan masa bersama pemain secara tertutup di hotel penginapan pasukan.

Dalam pertemuan itu, Hamidin akui pemain berjanji akan bangkit daripada kekalahan 0-4 kepada Jordan sebelum ini untuk menghidupkan kembali peluang ke pusingan berikutnya.

"Pemain berjanji untuk bangkit pada perlawanan menentang Bahrain nanti dan sekurang-kurangnya kita perlu mendapatkan mata pada perlawanan tersebut untuk dibawa pulang.

"Kita harap pemain dapat memberikan saingan yang kuat menentang Bahrain ini. InsyaAllah mereka memberikan persembahan sebaik mungkin. Sama-sama kita doakan pasukan Harimau Malaya dapat melakukannya, Sabtu ini," kata Hamidin.

Ketika ini, skuad kendalian Kim Pan-gon berada di tangga terbawah Kumpulan E susulan kekalahan di tangan Jordan Selasa lalu.

Aksi berdepan Bahrain di Stadium Jassim Bin Hamad Sabtu ini dianggap perlawanan hidup mati bagi mengintai slot ke pusingan kalah mati nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 January 2024 @ 5:48 PM